KOTA BHARU – Keputusan kerajaan untuk membenarkan aktiviti rentas negeri ternyata memberi kegembiraan kepada semua pihak termasuk pasangan cinta terhalang yang tidak sabar untuk bernikah di Siam bagi menghalalkan hubungan dengan kekasih atau suami orang.
Seorang ejen yang sering menguruskan urusan pernikahan di Thailand mendedahkan, dia menerima lima panggilan sehari daripada individu tertentu bertanyakan mengenai prosedur dan bayaran untuk berkahwin di negara itu.
Ejen yang dikenali sebagai Azli itu memberitahu, panggilan semakin bertambah sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri pada minggu lalu.
“Panggilan mula masuk seminggu sebaik khabar angin merentas negeri bertiup kencang dan semakin meningkat selepas kerajaan membolehkan semua orang yang lengkap vaksin berbuat demikian.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan memang ada yang menghubungi saya untuk bernikah di Siam tetapi tidak ramai. Soalan yang sering ditanya ialah mengenai prosedur dan kadar bayaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya, berdasarkan dialek percakapan, kebanyakan individu itu disyaki dari Kelantan dan ada juga dari negeri lain.
Bagaimanapun, menurut Azli, dia akan mengesyorkan kepada pasangan agar bersabar dan tunggu sehingga Thailand membuka pintu sempadan kerana ia lebih mudah.
“Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang bernikah di Thailand ini mempunyai masalah berkaitan wali dan si lelaki tidak mendapat persetujuan daripada isteri pertama atau keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, ujar Azli, pada jangkaannya, tidak semua yang membuat panggilan itu benar-benar berminat untuk bernikah kerana ada yang sekadar bertanya dan tidak mustahil juga pihak berkuasa yang menyamar.
“Saya perlu berhati-hati kerana Thailand masih belum membuka pintu sempadannya ekoran masih bimbangkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu di Ipoh, Perak seorang lagi ejen, Ahmad Dali berkata, sebanyak 30 pasangan terutama yang menetap di Taiping, Parit Buntar, Selama dan Kerian hanya menunggu masa untuk dia uruskan bernikah di Siam.
“Mereka suka pergi Siam kerana urusan poligami di Perak rumit selain memakan masa. Masing-masing sudah tidak sabar selepas setahun menunggu,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan pasangan akan bertolak dari Perak ke Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar untuk ke Songkhla dengan menaiki kereta bersama ejen.
Menurut Ahmad Dali, ramai pasangan mahu dia menjadi penunjuk jalan bila sempadan dibuka nanti, namun ada yang begitu terdesak dan memintanya mencari kaedah lain untuk pergi ke sana segera.
Ujar Ahmad Dali, sebelum pandemik, dia telah membawa 20 pasangan untuk bernikah di Siam.
“Kebanyakan mereka merupakan suami orang yang ingin bernikah dua dan ada juga dalam kalangan mahasiswa yang tidak mendapat restu keluarga kerana mahu mereka menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum berkahwin,” katanya.
Tambahnya, dia hanya mengenakan bayaran sebanyak RM1,800 bagi setiap pasangan merangkumi proses pernikahan di Pejabat Agama Islam Songkhla, pendaftaran perkahwinan di pejabat Konsulat Malaysia Songkhla, penginapan, pengangkutan dan makan minum selama dua hari.














