fbpx
Mohd. Said

Kanak-kanak autisme maut tertinggal dalam van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan autisme berusia lapan tahun ditemui maut selepas dipercayai ditinggalkan selama tiga jam dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa yang mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran itu telah ditinggalkan tanpa sengaja oleh seorang pemandu van yang diberi tanggungjawab menghantar mangsa.

Mohd Said berkata, satu laporan polis berhubung kematian kanak-kanak autisme itu telah diterima pada pukul 7.46 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van tersebut.

“Bagaimanapun, pemandu van telah pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam kenderaannya dari pukul 2.30 hingga 5.30 petang (tiga jam),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, sepanjang kejadian itu van tersebut diletakkan di hadapan rumahnya dan apabila mangsa ditemui dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaa’far dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Jelas beliau, susulan daripada kes tersebut pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemandu van berkenaan.

“Perintah tahanan reman ke atas suspek akan dipohon bagi mengenal pasti kejadian yang berlaku.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR