fbpx

Bekalan air disalurkan pukul 3 pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua kanan) melihat paip saluran air lama yang ditukar semasa lawatan di LRA SSP1 malam ini. - ZULFADHLI ZAKI

KUALA SELANGOR – Bekalan air bersih di kawasan terjejas di Lembah Klang dijangka akan disalurkan awal dua jam bermula pukul 3 pagi nanti (Khamis).

Ini susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) di Bukit Badong di sini, siap sepenuhnya pukul 8.15 malam tadi.

Pelaksanaan itu termasuk melibatkan penukaran paip utama baharu yang berjangka hayat antara 27 hingga 30 tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses kerja itu berjalan lancar sejak dilaksanakan bermula bermula jam 9 pagi.

Katanya, keseluruhan pelaksanaan itu melibatkan 18 kerja utama termasuk sembilan di LRA berkenaan.

“Alhamdulilah semua kerja penambahbaikan dan penyenggaraan selesai lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada pukul 11 malam.

“Ia menunjukkan bahawa kita mendahului dua jam daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau LRA itu, malam tadi.

Jelas Amirudin, pihaknya dimaklumkan kerja di lokaliti hiliran turut sudah mencapai 90 peratus setakat ini.

Tambah beliau, pelan awal Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sebelum ini menjangkakan bekalan air akan diagihkan bermula pukul 5 pagi esok.

“Proses agihan air kebiasaannya akan mengambil masa antara lima hingga enam jam selepas kerja penyenggaraan siap.

“Namun, ia berjaya disiapkan awal dan membolehkan bekalan mula disalurkan kira-kira pukul 3 pagi,” ujarnya.

Sebanyak 998 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual sehingga Sabtu ini.

Gangguan itu susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang menyebabkan henti tugas LRA SSP1.

Air Selangor menggerakkan 105 lori tangki air ke kawasan terjejas selain 18 pili air awam disediakan untuk kemudahan pengguna. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI