fbpx
PEMAKAIAN tops yang besar menyuntik elemen 80-an.

Tampilkan fesyen era 1980-an dengan trend terkini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh FAIZAL HAMID

ERA fesyen 1980-an merupakan antara era eksperimentasi dalam sejarah fesyen. Ikon-ikon fesyen dengan gaya hebat seperti Puteri Diana, Madonna dan Michael Jackson menjadi inspirasi ulung kepada industri serta trend fesyen.

Rekaan pakaian pada masa itu mendefinisikan personaliti si pemakainya serta mampu memberi impak yang besar serta efek dramatik kepada khalayak.

Era 80-an itu adalah dekad di mana eksperimentasi keberanian bagi gaya, warna dan siluet dalam rekaan pakaian serta penampilan.

Antara trend yang menjadi ikutan dan kegilaan adalah penggunaan pad besar untuk bahu (big shoulder pad) yang diinspirasikan daripada pakaian Puteri Diana dan para pelakon siri drama Dynasty selain gaya punk Boy George serta seluar kulit
ketat dan blazer bersaiz besar.

Filem seperti Flashdance dan Fame juga memberikan impak pada trend fesyen pada masa itu.

Lengan potongan belle, fabrik foil, spandex, denim, labuci, ropol, rona neon terang dan metalik yang pernah mendominasi trend fesyen glamor 80-an kini menjadi inspirasi koleksi terkini pereka antarabangsa dan juga pakaian di jalanan.

Namun begitu, trend ini sememangnya agak berisiko jika tidak kena gaya dan mungkin akan membuatkan kita kelihatan seperti memakai kostum untuk ke parti.

Tetapi sebaliknya jika kita bijak menyuntik interpretasi gaya 80-an dalam penampilan, pasti hasilnya penuh glamor, anggun dan cukup bergaya sealiran trend kontemporari.

Berikut antara panduan interpretasi trend fesyen 80-an yang boleh kita ikuti.

1. Dapatkan pakaian dengan pad bahu

Pada era 1980-an, boleh dikatakan kesemua blaus, jaket atau gaun disertakan dengan pad bahu (shoulder pads).

Penggunaan pad bahu memberikan kita siluet bahu persegi dan boxy yang cukup memberikan impak bagi gaya pakaian pejabat dan pakaian malam.

Untuk kelihatan tidak ketinggalan zaman pada tahun 2021 ini, gayakan blaus sutera dengan pad bahu yang dipadankan dengan seluar jean high-waisted skinny jeans serta kasut tumit tinggi atau platform.

2. Tops bersaiz besar

Cuba gayakan baju panas yang melepasi bahu (off-the-shoulder sweatshirt), kemeja-T bersaiz besar yang dipadankan dengan legging atau baju panas rona terang yang dikemaskan dengan variasi tali pinggang bersaiz besar.

3. Anting-anting bersaiz besar

Konsep the bigger the better boleh anda praktikkan dalam menggayakan trend ini. Dapatkan anting-anting bersaiz besar termasuk dengan dekorasi bulu, reka bentuk geometri, gelung atau tassel yang jatuh hingga ke bahu.

Selalunya anting-anting ini didatangkan dalam rona terang, permata atau neutral serta cukup menyerlah apabila dipadankan dengan rekaan pakaian yang ringkas.

Dandanan gaya rambut perlu kontemporari supaya penampilan keseluruhan kelihatan cukup chic dan cool.

KONSEP the bigger the better boleh diterapkan dalam penggayaan 80-an kontemporari.

4. Rona neon

Rona neon cukup popular pada era 80-an. Untuk menjadikan trend warna neon ini kontemporari, kita perlu elakkan daripada memakai pelbagai pakaian dalam variasi warna neon serentak pada satu masa.

Lebih mudah jika kita hanya gayakan aksesori dalam warna neon bagi menyuntik elemen moden dan segar dalam penampilan.

Gayakan pakaian warna biru kelasi, hitam atau monokromatik bersama padanan kasut rona merah jambu terang atau tali pinggang kuning neon yang pasti dapat membangkitkan aura yang cukup stylish serta memikat.

5. Jaket denim

Miliki jaket denim bersaiz besar yang permukaan fabriknya diberi suntikan artistik dengan teknik seni seperti airbrushed, pins atau sulam tampal dengan variasi logo, reka corak dan motif. Pastikan warna denim tidak terlalu gelap untuk tampil lebih sporty.

6.Kasut tumit tinggi putih

Semasa tahun 80-an, but dan pumps warna putih cukup popular dalam kalangan peminat fesyen pada masa itu yang sentiasa mencari kasut tumit tinggi paling tirus untuk kelihatan hebat.

Sejak musim kebelakangan ini, rekaan but dan kasut tumit tinggi putih kembali menyerlah di pentas peragaaan antarabangsa seperti dalam koleksi jenama Isabel Marant dan Celine.

Jenama antarabangsa kini memberi interpretasi mereka dalam versi lebih kontemporari yang digaya berteraskan variasi rekaan pakaian pada setiap musim.

7.Labuci yang berkilau

Labuci menjadi suatu kemestian dalam dekad 80-an dan kini jenama seperti Balmain, Saint Laurent mahupun Gucci telah mengembalikan semula kemestian itu dalam koleksi rekaan mereka.

Paling penting, pastikan anda memilih hanya satu statement piece pada sesuatu masa mengikut trend ini.

Padanan lain juga perlu ringkas dan minimum bagi mengelak kelihatan seperti memakai kostum 80-an.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

 

POPULAR

BERITA BERKAITAN