fbpx
SYED meminati Gundam sejak dia berusia 10 tahun dan kini menjadi hobi yang paling disukainya.

Puas miliki 150 koleksi Gundam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN kesabaran dan ketelitian yang tinggi, hobi mengumpul serta memasang model Gundam menjadi ‘pelarian’ buat seorang pemuda ini daripada kesibukan rutin harian.

Minatnya bermula sejak kecil dan kini berkembang menjadi koleksi peribadi yang tersusun rapi, lengkap dengan pelbagai siri Gundam ikonik. Bagi pemuda yang ingin dikenali sebagai Syed ini, setiap kit Gundam bukan sekadar permainan atau hiasan semata-mata, sebaliknya sebuah proses kreatif yang menuntut fokus, imaginasi dan disiplin.

Daripada menyusun bahagian-bahagian kecil sehinggalah mengecat dan memperincikan setiap sudut, hobi ini memberinya kepuasan tersendiri serta ruang untuk mengekspresikan diri.

Berkongsi dengan K-Remaja, pemuda kelahiran Selangor itu memberitahu, minatnya terhadap Gundam timbul sejak usia 10 tahun ketika dia mula bermain ‘game’ Gundam pada peranti Playstation.

“Game tersebut adalah Mobile Suit Gundam Seed Destiny: Rengou vs. Z.A.F.T. II.

“Ketika itu juga, saya ternampak Gundam di kedai permainan ToysRUs dan mula membelinya sehinggalah menjadi hobi,” katanya.

Bagi Syed, proses memasang Gundam adalah satu kepuasan buatnya. Setiap Gundam yang siap dipasang menghadirkan rasa bangga dalam diri dan figura tersebut seterusnya boleh digunakan untuk bermain, mahu pun digunakan sebagai pameran (display).

“Bagi saya, hobi Gundam ini ada banyak fasa seperti mengumpul, memasang dan mempamerkannya.

“Bahkan, Gundam ini juga boleh diubah suai dengan cara memadankan bahagian Gundam dengan warna yang disukai.

SYED memiliki 150 koleksi Gundam, kebanyakannya daripada kategori HG dan RG berskala 1/144.

“Oleh itu, saya melihat hobi ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan, tidak kiralah anda berada di fasa mana pun,” katanya yang memiliki hampir 150 koleksi Gundam, kebanyakannya daripada kategori High Grade (HG) dan Real Grade (RG) berskala 1/144.

Dalam memilih model Gundam untuk dikumpul, Syed berkata, dia mengamalkan pendekatan yang teratur dan konsisten dengan memfokuskan kepada satu skala dan grade sahaja, iaitu 1/144 HG dan RG.

Setiap pembelian dibuat berdasarkan minat peribadi, namun pada masa yang sama dia akan memastikan model yang dipilih datang daripada siri atau pasukan Gundam yang sama bagi melengkapkan sesebuah koleksi.

“Sebagai contoh, bagi siri Gundam Impulse, saya berusaha melengkapkan keseluruhan set termasuk HG Force Impulse, HG Sword Impulse dan HG Blast Impulse yang sebahagian merupakan edisi terhad Premium Bandai.

“Apabila versi baharu dikeluarkan, seperti Real Grade yang dilancarkan baru-baru ini, saya akan mula mengumpul siri tersebut dalam grade RG pula.

“Bagi mengelakkan koleksi menjadi berlebihan, model versi lama akan dijual sekiranya sudah digantikan dengan versi baharu.

“Namun, bagi Gundam yang benar-benar dekat di hati, seperti Astray Red Frame, saya memilih untuk menyimpan dan melengkapkan semua versi yang pernah dikeluarkan walaupun reka bentuknya hampir sama, sebagai simbol minat dan penghargaan terhadap karakter tersebut,” jelasnya.

Menurut pemuda itu lagi, dia lebih selesa membina Gundam secara terus apabila dikeluarkan dari kotak tanpa terlalu banyak pengubahsuaian.

“Saya memang jenis ringkas, jadi saya suka pasang terus dari kotak. Kalau ada buat pengubahsuaian pun, sekadar nak bagi rupa Gundam itu nampak lebih dekat dengan versi asal dalam cerita,” ujarnya.

Mengulas tentang kos, Syed berpendapat hobi mengumpul Gundam sebenarnya tidaklah semahal yang disangka, asalkan dilakukan dengan perancangan dan kesabaran.

Menurutnya, peminat perlu mengelakkan daripada terlalu mengikut ‘hype’ atau trend semasa kerana perkara itu boleh mendorong kepada perbelanjaan berlebihan.

“Membuat belanjawan memang penting. Saya akan tetapkan had bulanan contohnya, sekitar 10 peratus daripada simpanan dikhaskan khas untuk Gundam,” katanya.

Bagi memudahkan pengurusan kewangan, dia turut menumpukan koleksi kepada satu skala dan grade sahaja iaitu 1/144 HG dan RG, supaya pilihan pembelian lebih terarah dan tidak bercelaru.

Selain itu, Syed juga gemar mengambil peluang membeli kit ketika promosi jualan seperti 9.9, 10.10 atau musim gaji, walaupun mengakui model yang popular atau jarang ditemui selalunya sukar diperoleh dengan harga diskaun dan memerlukan kesabaran serta simpanan awal.

Tambahnya, peralatan pemasangan juga perlu diberi perhatian dengan memilih alatan yang berkualiti dan tahan lama.

“Alat ini memang tak perlu beli selalu tapi kena sediakan dalam bajet juga.

“Sekiranya berdepan situasi terpaksa melebihi bajet untuk model yang benar-benar diinginkan, saya akan mempertimbangkan untuk melepaskan sebahagian koleksi sedia ada bagi menampung kos.

“Kit Gundam sama ada yang belum dipasang atau sudah siap dibina masih mempunyai nilai jualan semula, sekali gus membantu mengekalkan hobi ini secara konsisten tanpa menjejaskan komitmen kewangan lain,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN