fbpx

Boleh rentas negeri macam balik raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Beberapa hari lagi, tidak lama lagi, dalam tempoh terdekat dan makin hampir.

Ini ayat popular yang sering diperkatakan rakyat Malaysia dalam minggu ini. Semua orang tertunggu-tunggu angka 90 peratus vaksinasi lengkap golongan dewasa akan tercapai.

Semalam, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada mereka yang lengkap vaksinasi untuk rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran polis bermula hari ini.

Kebenaran itu selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

Sebelum ini, ramai yang berteka-teki sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung atau tidak, tetapi kali ini rakyat Malaysia tidak sabar-sabar mahu rentas negeri, masing-masing telah membuat persedian untuk merentas negeri.

Kenderaan telah siap diselenggara dan pakaian sudah masuk dalam beg untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa serta saudara-mara.

Malah, ibu bapa di kampung juga sudah mula membuat persiapan menyambut kepulangan anak dan cucu mereka dengan menyiapkan hidangan kegemaran.

Rentas negeri kali ini macam menyambut hari raya. Maklumlah sudah dua tahun sejak 2020 anak-anak perantau menyambut Aidilfitri di perantauan, manakala ibu bapa pula merayakannya di kampung tanpa anak dan cucu di sisi mereka.

Tidak hairanlah jika lemang, rendang dan ketupat akan menjadi juadah istimewa nanti.

Anak-anak perantau telah bertekad untuk balik kampung. Walaupun cuti sehari sahaja, pasti ramai yang akan mengambil peluang untuk pulang.

Plus Malaysia Berhad menjangkakan aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan meningkat antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari apabila perjalanan antara negeri dibenarkan.

Plus juga telah melakukan persediaan awal bagi menghadapi aliran trafik yang tinggi seperti yang sering berlaku ketika musim perayaan.

Lebuh Raya Pantai Timur 2 pula dijangka bakal menerima peningkatan trafik sehingga 45,000 kenderaan sehari sejurus kebenaran rentas negeri diumumkan. Mungkin keadaan di lebuh raya nanti akan sesak dengan kenderaan seperti pulang beraya.

Bagaimanapun, seronok-seronok juga, tetapi perlu diingatkan Covid-19 masih wujud dan menular dalam kalangan komuniti. Buatlah ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung, jika tidak mampu membeli kit ujian Covid-19, jagalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sekiranya mempunyai gejala-gejala Covid-19 seperti demam, selesema atau batuk, tangguhkan dahulu perjalanan pulang ke kampung.

Kita bukannya mahu pulang ke kampung dan bertemu dengan ibu bapa dan saudara-mara untuk sekali sahaja, sebaliknya mahu lebih lama.

Jangan hanya kerana kecuaian mematuhi SOP, kita akan berjumpa dengan ibu bapa atau saudara-mara di kubur sahaja dalam kepulangan kali kedua.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI