fbpx

Bapa kudung tangan rogol anak OKU dipenjara 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang merupakan OKU di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Perbuatan keji seorang penjaja kudung tangan yang tergamak merogol anak kandungnya orang kelainan upaya (OKU) menerima pembalasan dunia apabila dia dipenjara selama 15 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh yang berusia 50 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun empat bulan semasa kejadian apabila perhubungan dengannya tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kuala Krai kira-kira pukul 11.59 malam pada 18 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang sanggup melakukan perbuatan itu terhadap anaknya yang merupakan OKU fizikal.

“Tertuduh sepatutnya melindungi anaknya dan bukan melakukan perbuatan keji itu terhadap remaja berkenaan,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dan hanya bergantung kepada pendapatan sebanyak RM300 sebulan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, mangsa yang tidak boleh bergerak kedua-dua belah kakinya mengatakan bahawa dia dirogol oleh tertuduh pada bulan Mac 2017 iaitu seminggu selepas kematian ibu tirinya.

Sejak daripada itu, mangsa mengatakan dia telah dirogol oleh bapanya lebih 30 kali di dalam bilik tidur mangsa apabila terdapat kesan koyakan lama pada kemaluannya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI