REMBAU – Kes orang hilang secara misteri dan dikembalikan dalam keadaan lemah bukan lagi asing buat penduduk di Kampung Sungai Raden, Lubok China, Rembau kerana kawasan itu didakwa menjadi ‘laluan keramat’ alam ghaib.
Kampung itu terletak di antara Sungai Timun dan Pengkalan Kempas di sini.
Bekas Ketua Kampung Sungai Timun, Borhan Miss, 81, berkata, kehilangan selama 12 jam orang kelainan upaya, Mohd. Fashah Samat, 35, Sabtu lalu mengimbau semula kes-kes kehilangan yang terjadi sebelum ini.
Katanya, kesemua mangsa menceritakan kisah yang sama iaitu dibawa seseorang ke satu lokasi asing sebelum tersedar dan berjalan keluar dari lokasi disorokkan.
“Ia sudah berlaku sejak awal tahun 60-an lagi. Alam ghaib memang ada dan terdapat laluan keramat antara Sungai Timun ke Pengkalan Kempas termasuk Sungai Raden.
“Nama asal kampung ini Pinggiran Bertam, namun ditukar sebab kurang cantik. Sebelum keluarga saya datang pada 1955, ada kisah orang Cina hilang, namun saya tidak tahu sama ada dia ditemui atau tidak,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan Mohd. Fashah ditemui dalam keadaan lemah dan kecut dalam kolam terbiar akibat disorok makhluk halus.
Menurut Borhan, sekitar 60-an, seorang wanita India turut hilang hingga keluarganya membuat ritual di kuil dengan memanggil seorang sami di Bukit Bertam sebelum mangsa dikembalikan pada tengah malam selepas hilang seharian.
Tambahnya, kes itu tidak terhenti setakat itu apabila seorang lagi wanita hilang sebelum ditemui berada di atas pokok.

“Sebelum itu dia dibawa oleh rakan-rakan seusianya bermain-main di sebuah kawasan sebelum hilang. Dia juga ditemui selamat namun berada dalam keadaan lemah tetapi sekarang dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Ujar Borhan, sekitar 70-an, seorang perempuan bisu juga hilang dipercayai dibawa ke alam bunian selama tiga hari.
“Tiga kali dia hilang. Kali terakhir dia hilang pada 2013 dan ditemui di dalam pembentung air tak jauh dari rumah,” katanya.
Menurut Borhan, dahulu ada seorang lelaki bergelar Datuk Pawang Ghani yang banyak membantu menyelesaikan kes-kes mistik.
Katanya, pawang Ghani ada berkongsi cara memanggil balik orang hilang iaitu dengan mengibas-ngibas baju yang pernah dipakai mangsa.

“Sambil kibas, panggil nama mangsa dan suruh dia pulang kononnya untuk tukar baju sebab pakaian yang digunakan sudah lusuh dan kotor. Cara itu juga yang digunakan untuk mencari perempuan bisu itu,” katanya.
Tambahnya, semua mangsa menceritakan kisah yang sama iaitu terus berjalan dan hanya tersedar apabila dipanggil.
“Namun, segalanya berlaku atas kehendak Allah dan mintalah perlindungan dan pertolongan daripada-Nya,” katanya.
Katanya, laluan keramat mendapat namanya berdasarkan kepada cerita pada zaman Laksamana Hang Tuah.
“Pawang Ghani pernah menceritakan Hang Tuah yang terkenal dengan ilmu persilatannya hanya melangkaui laluan itu di mana sebelah kakinya di puncak Gunung Datuk, Rembau, manakala sebelah lagi di Tanjung Tuan, Port Dickson.
“Laluan Sungai Timun di kampung ini sehingga ke Pengkalan Kempas hanya dilalui oleh hulubalang lain dalam rombongan Raja Melewar ke Sungai Linggi. Hulubalang yang meninggal dunia disemadikan di beberapa lokasi yang digelar keramat antaranya Keramat Lipat Tiga dan Keramat Sungai Udang.
“Kejadian yang berlaku Sabtu lalu berlaku berhampiran Keramat Serban Hijau di Kampung Sungai Raden,” katanya.
















