fbpx

Paras harga baharu kit ujian kendiri diumum November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander Nanta Linggi.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan paras harga baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada bulan hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu bagi kit ujian tersebut.

“Kerajaan juga telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan mencukupi dan berterusan.

“KPDNHEP akan mengeluarkan satu paras harga yang baharu selepas faktor-faktor di atas diperhalusi dan dimuktamadkan dalam bulan November 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 seperti pasar raya.

Katanya, sudah ada yang bersetuju untuk menjualnya lebih rendah daripada paras harga ditetapkan oleh kerajaan.

“Pembukaan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 oleh pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober 2021.

“KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 itu selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

Menurut Alexander, mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian kendiri kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.

“KPDNHEP mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang enam juta kit ujian pantas antigen Covid-19 telah berada dalam pasaran.

“Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September 2021 turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian kendiri tersebut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI