fbpx

Jaga Dirimu taruhan terbaharu Rudy Zil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPULUH tahun tiada lagu baharu, tahun 2021 menjadi detik kembalinya penyanyi kelahiran Sabah, Rudy Zil ke dunia muzik.

KETIKA pandemik hebat membadai dunia, semangat yang ditunjukkan penyanyi kelahiran Sabah, Rudy Zil sedikit pun tidak pernah luntur.

Cinta dan jiwanya kepada muzik membuatkan anak muda itu tetap meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian dengan menerbitkan single terbaharu berjudul Jaga Dirimu.

Menurut pemilik nama lengkap Mohd. Fadzil Madi, single Jaga Dirimu ciptaan sendiri sepenuhnya diterbitkan selepas 10 tahun tidak muncul dengan sebarang karya.

“Lagu ini tentang merelakan perpisahan dan memberi pesan agar terus menjaga diri dengan baik.

“Lagu ini sudah agak lama ditulis, iaitu sejak 2011, namun liriknya baru siap sepenuhnya pada 2021.

“Lagu ini diterbitkan oleh Benn’s Studio (Ben Simon Bukag) dan mengambil masa selama empat bulan untuk siap disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang silih bersambung,” katanya.

Tambah Rudy, lagu tersebut dibuat seawal Februari tahun ini bermula dengan demo akustik dan menghantarnya ke studio untuk proses rakaman.

“Susunan muzik dibuat agak lewat kerana faktor PKP. Setelah demo siap pada April 2021, saya mulakan latihan sendiri di rumah.

“Pada bulan Mei, proses memasukkan vokal dijalankan dan siap sepenuhnya seminggu kemudian.

“Harapan saya agar lagu ini dapat diterima telinga pendengar dan masyarakat tanpa mengira umur,” katanya.

Jaga Dirimu berada dalam semua saluran digital dan YouTube Luncai Emas yang berperanan sebagai pengedar tunggal sejak 16 Julai lalu.

Dalam pada itu, Rudy turut memaklumkan dia pernah membuat persembahan duet bersama kumpulan yang dianggotai anak jati Sabah, Atmosfera dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) dan menyifatkan persembahan tersebut satu kebanggaan paling bermakna buatnya.

“CLAS ini kalau di Kuala Lumpur diibaratkan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya benar-benar teruja dan bangga diberikan peluang dapat berkolaborasi membuat persembahan tersebut,” ujarnya lagi.

Selain menyanyi, Rudy turut aktif dalam penghasilan lagu untuk dirinya serta beberapa rakan artis tempatan Sabah lain seperti Nowhy Band, Erney E. Tugoe & Syamlie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI