fbpx

Polis siasat video penceramah berbaur perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung klip video tular yang didakwa mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum oleh penceramah bebas, Mohd. Syakir Nasoha.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, klip video berdurasi satu minit yang mula tular di media sosial seperti TikTok, Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu jelas mengundang kemarahan orang ramai.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan negara,” ujarnya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan kira-kira 30 badan bukan kerajaan membuat laporan polis terhadap Mohd. Syakir Nasoha yang didakwa menghina penganut agama Hindu dan Buddha serta orang Dayak dalam ceramahnya.

Dalam masa sama, Mohd. Syakir dilaporkan memberi penjelasan bahawa ceramah asalnya telah dipotong dan ditularkan sehingga menyebabkan orang bukan Islam tersalah faham apa yang dimaksudkannya.

Dalam video penjelasannya, Syakir berkata, keratan video itu diambil dan disebarkan kepada umum sehingga menimbulkan salah faham kepada orang bukan Islam. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI