fbpx

Hiba urus jenazah sahabat karib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Me­nguruskan jenazah sahabat baik menjadi pengalaman paling sukar dilupakan dan menghibakan buat Mohd. Rosli Wahab sepanjang mengendalikan kes kematian pesakit Covid-19 di Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Beliau yang bertugas sebagai Ketua Unit Hal Ehwal Islam HSNZ memberitahu, dia hanya mengetahui jenazah berkenaan adalah sahabat karibnya sewaktu me­lakukan proses pengecaman di bilik mayat.

“Sebaik melihat wajah jenazah secara spontan saya berkata, ‘Allah, ini kawan baik aku’.

“Saya terpaksa lawan pe­rasaan sebak dan perlu menguatkan semangat demi tugas dan amanah mewakili waris jenazah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ di sini semalam.

Mohd. Rosli berkata, sebagai insan biasa, beliau amat sebak dan insaf apabila terpilih menjadi antara individu terakhir yang menguruskan jenazah korban Covid-19 sebelum dibawa ke ­tanah perkuburan.

Berkongsi pengalamannya lagi, beliau memberitahu, antara yang turut menyayat hati apabila menyaksikan seorang anak yang dua tahun tidak dapat pulang ke kampung merintih sewaktu membuat pengecaman jenazah ibunya meninggal dunia akibat Covid-19.

“Dia satu-satunya ahli ke­luarga yang boleh membuat pengecaman kerana yang lain sedang dikuarantin.

“Saya menitiskan air mata mendengar rintihannya me­rayu agar dibenarkan mengucup jenazah ibu buat kali terakhir tetapi tidak dibenarkan atas faktor kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli berkata, setakat ini, beliau dan pasukannya telah menguruskan 380 jenazah korban Covid-19 sejak penularan pandemik itu pada awal tahun lalu.

Tambah beliau, seramai lima hingga enam orang anggota Unit Hal Ehwal Islam HSNZ bertugas menguruskan setiap jenazah Covid-19 yang mengambil masa sehingga 45 minit.

“Kami terima empat atau lima jenazah sehari, jumlah itu pernah mencecah sehingga 11 jena­zah ketika kes kematian Covid-19 sedang memuncak pada perte­ngahan tahun ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI