Sebahagian anggota APM Terengganu sedang menjalani latihan penyelamatan di air di Pulau Kapas, Marang, hari ini.

Musim bah: 460 lokasi pesisir pantai, muara sungai diberi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Angkatan Pertahanan Awam (APM) selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu akan memberi tumpuan terhadap 460 lokasi berisiko banjir di negeri ini sewaktu tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula pada bulan depan.

Pengarah APM Terengganu, Mohd. Zul Khairi Shamsuddin berkata, kebanyakan lokasi berisiko banjir yang telah dikenal pasti itu terletak di kawasan pedalaman, pesisir pantai dan muara sungai seluruh negeri ini.

“Kesemua lokasi tersebut pernah ditenggelami banjir pada musim tengkujuh dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Pemantauan berkala dilakukan di kawasan-kawasan tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan akan dipertingkatkan menjelang ketibaan MTL pada bulan depan,” katanya di Pulau Kapas, dekat sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui ketika mengetuai Latihan Pengendalian Bot bagi menghadapi musim tengkujuh.

Sehubungan itu, Mohd. Zul Khairi memberitahu, APM telah meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir tengkujuh.

Beliau berkata, mesyuarat koordinasi banji melibatkan semua agensi terlibat di Terengganu telah diadakan pada Ahad lalu.

“Semua 900 anggota APM negeri telah bersiap sedia untuk digerakkan bagi operasi penyelamatan banjir mengikut keperluan.

“Sebahagian 126 aset daratan dan air seperti lori, kenderaan pikap dan bot laju telah diselenggara dan dipastikan akan keadaan baik untuk digunakan dalam musim banjir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN