fbpx
Sebahagian 37 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari, Sungai Petani, Kedah bergambar bersama guru pengiring selepas mengunjungi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu.

Sanggup tempuh 400km demi STEM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Perjalanan lebih 400km dari Sungai Petani, Kedah tidak menghalang 37 murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari bersama 7 guru pengiring ke Kuala Terengganu bagi mendapatkan pengalaman pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang lebih dekat dengan dunia sebenar.

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menjadi antara destinasi singgahan delegasi cilik ini sebagai persediaan murid-murid sekolah ini menghadapi pertandingan STEM peringkat kebangsaan di ibu kota nanti.

Guru pengiring, Sheikh Mohd Faisol Sheikh Fauzi, berkata kunjungan ke PSKT memberi kelebihan kepada muridnya kerana pendekatan pembelajaran yang digunakan lebih bersifat amali, sekali gus membantu mereka memahami konsep STEM dengan lebih jelas.

“PSKT memberi kelainan berbanding lain-lain pusat sains yang ada di mana-mana negeri termasuk yang terletak di Alor Star untuk memberi pendekatan secara amali atau praktikal secara terus yang lebih sesuai diterjemahkan kepada peringkat usia murid-murid sekolah.

“Pendekatan ini memberi kelebihan untuk mereka yang kini dalam persediaan untuk satu pertandingan STEM peringkat kebangsaan pada minggu hadapan,” ujar Sheikh Mohd Faisol Sheikh Fauzi yang juga merupakan seorang guru bagi mata pelajaran bahasa cina di sekolah itu.

Tambahnya lagi, faktor kemudahan dan fasiliti termasuk kawasan meletak kenderaan yang luas turut menjadi pilihan untuk mereka yang hadir secara rombongan dengan bas yang disewa khas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Mohd Huzairil Nizam Ibrahim menzahirkan perasaan teruja melihat kesungguhan murid-murid dari Sungai Petani, Kedah ini sanggup menempuhi perjalanan jauh semata-mata untuk hadir ke PSKT ini.

“Umumnya hanya sewaktu musim cuti sekolah kami menerima kehadiran pelawat-pelawat dari jauh namun kali ini sewaktu hari persekolahan kami juga turut menerima kehadiran dari murid-murid sekolah apatah lagi sanggup menempuhi perjalanan jauh dari Sungai Petani, Kedah.

“Kami tidak melihat ianya satu kredit atau pencapaian untuk PSKT, malah seharusnya pujian perlu diberikan kepada mereka di atas kesungguhan untuk hadir di sini yang merupakan serampang dua mata untuk persediaan ke pertandingan STEM peringkat kebangsaan nanti,” katanya.

Rombongan sekolah itu akan pulang ke Sungai Petani selepas selesai program tiga hari dua malam di Kuala Terengganu sebelum membuat persediaan akhir bagi menyertai Walnut EduTech Championship (WEC 2026) di Petaling Jaya, Selangor pada 26 September ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN