PULAU Langkawi di Kedah tidak lagi sepi apabila kerajaan melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan di pulau peranginan itu pada 16 September lalu.
Destinasi pelancongan terkenal tersebut kembali ‘bernyawa’ dengan kehadiran lebih 2,000 pelancong domestik dari seluruh negara setiap hari.
Bersempena sambutan Hari Malaysia, pintu pulau Mahsuri itu dibuka dengan ketibaan penerbangan pertama yang terdiri daripada 159 pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada pukul 10.45 pagi.
Pada hari pertama projek rintis itu, seramai 2,200 pelancong tiba di LTAL menerusi 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Kira-kira 1,000 pelancong lagi tiba di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi menerusi tiga perjalanan feri penumpang serta feri membawa penumpang dan kenderaan jenis Roll On Roll Off (RORO) di Terminal Feri Kuala Perlis.
Meskipun suasana pelancongan di pulau itu tidak serancak sebelum ini berikutan pandemik Covid-19, namun tetap membuka peluang kepada pemain industri pelancongan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Salah seorang penumpang penerbangan pertama, Rosmazaini Mohd. Zain, 50, dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia teruja sebaik menjejakkan kaki di Pulau Langkawi kerana tidak sabar-sabar lagi untuk melancong bersama keluarga tersayang.
“Saya sudah lama buat tempahan iaitu sejak awal tahun ini tetapi terpaksa menangguhkannya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang aktiviti rentas negeri.
“Jadi, hari ini merupakan pengalaman manis buat saya, suami dan empat anak kerana kami akhirnya dapat berkunjung ke sini, malah disambut dengan meriah oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri,” katanya kepada K2 ketika ditemui di LTAL baru-baru ini.
Ujarnya, biarpun teruja, dia sekeluarga tetap akur untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak dijangkiti Covid-19.
“Salah satu SOP yang perlu kami patuhi ialah menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke pulau ini. Saya bersyukur kerana keputusan kami negatif dan dibenarkan menaiki penerbangan ke sini,” ujarnya.
Selain itu, gelembung pelancongan ini juga menjadi lokasi pertemuan keluarga yang sekian lama terpisah dek kerana larangan rentas negeri dikuatkuasakan kerajaan.

Pelancong dari Jitra, Kedah, Noor Aslina Arshad, 53, ketika ditemui di Terminal Penumpang Kuah berkata, selain mahu berehat di pulau tersebut, dia juga ingin bertemu anak dan menantunya yang tinggal di Bangi, Selangor.
“Sudah lima bulan saya dan suami tidak bertemu dengan anak saya kerana larangan rentas negeri.
“Bila Langkawi buka untuk pelancong, kami datang ke sini melalui feri, manakala anak dan menantu menaiki penerbangan dari KLIA ke sini,” katanya.
Penduduk Yan, Kedah, Khairul Anwar Jamaludin, 28, pula berkata, pematuhan SOP sangat penting demi keselamatan semua.
“Wabak Covid-19 perlu dianggap sebagai endemik, kalau nak takut sampai bila? Jadi kita kena teruskan kehidupan dengan mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya.
Seorang lagi pelancong dari Jitra, Mohd. Faizal Roslan, 34, berkata, dia dan isteri telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Kami datang bersama anak berusia tujuh tahun, jadi saya dan isteri akan memastikan anak sentiasa memakai pelitup muka dan sarung tangan semasa berada di dalam feri,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, hasil pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan domestik di Pulau Langkawi akan dijadikan kayu ukur bagi pembukaan pulau peranginan lain.

Kata beliau, tahap pematuhan terhadap SOP norma baharu di pulau itu juga akan diambil kira.
“Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti,” katanya ketika berucap pada
Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi baru-baru ini.
Sehubungan itu, Nancy menggesa orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke pulau legenda tersebut supaya mematuhi SOP ditetapkan.
“Ia bagi memastikan agar gelembung pelancongan Langkawi kekal hijau seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, kementerian menaruh harapan yang tinggi kepada Langkawi kerana ia bukan sahaja akan menjadi tumpuan kepada para pelancong domestik, malah mampu menarik perhatian media tempatan dan antarabangsa.
“Ia memungkinkan kejayaan kepada pembukaan pelancongan antarabangsa jika travel bubble ini berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya bercadang untuk melaksanakan gelembung pelancongan antarabangsa di Pulau Langkawi pada hujung November ini.
Katanya, perbincangan tentang perkara itu sedang dilakukan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memuktamadkan SOP yang akan dikemukakan kepada MKN.
Menurut Nasaruddin, hanya pelancong dari negara tertentu yang dibenarkan berkunjung ke pulau ini dan pertimbangan akan dibuat berhubung destinasi-destinasi terpilih bagi pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa tersebut.
“Kita bercadang untuk melaksanakan projek tersebut pada November atau Disember bersempena cuti hujung tahun serta cuti musim sejuk di negara luar,” katanya.
Jelasnya, seramai 38,748 pengunjung telah memasuki Langkawi sejak projek rintis gelembung pelancongan dilaksanakan pada 16 September lalu sehingga 30 September lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 26,377 pengunjung masuk melalui LTAL, 7,480 pengunjung masuk melalui Terminal Feri Penumpang Kuah dan 4,891 orang melalui Jeti Tanjung Lembong dengan janaan keuntungan pendapatan sebanyak RM15.97 juta bagi industri pelancongan Langkawi.
















