PETALING JAYA – Fenomena cuaca yang jarang berlaku seperti puting beliung kecil, belalai air, ribut petir luar biasa kuat dan gelombang haba adalah fenomena cuaca baharu yang mula kerap melanda negara disebabkan peningkatan suhu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, Malaysia berpotensi berdepan fenomena cuaca baharu seumpama itu termasuk cuaca ekstrem jika pemanasan global dan pencemaran alam sekitar tidak ditangani dengan baik di negara ini.
“Puting beliung merupakan fenomena cuaca melibatkan berlakunya pusaran angin sangat kuat disertai pembentukan corong angin yang menghubungkan bahagian daratan dan awan.
“Halaju pusaran angin adalah melebihi 80 kilometer per jam (kmj) dan boleh mencecah 300 kmj, manakala diameternya antara beberapa meter hingga 1km dengan tempoh hayatnya dari beberapa saat hingga satu jam,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, fenomena puting beliung berkait dengan kehadiran cuaca ekstrem seperti hujan lebat atau ribut petir dengan puting beliung jenis belalai darat lazimnya berlaku ketika fasa Peralihan Monsun terutamanya pada bulan Oktober.
“Belalai darat adalah puting beliung bersaiz kecil terbentuk di daratan ketika proses pembentukan awan ribut petir kumulonimbus. Ia bersaiz kurang dari 50 meter dan halaju tidak melebihi 150 kmj, manakala belalai laut sama seperti belalai darat tetapi lokasi pembentukannya di laut.
“Buat masa ini MET Malaysia tidak mempunyai rekod statistik bilangan kejadian puting beliung di seluruh negara,” katanya.

Namun, berdasarkan maklumat iklim Malaysia, bilangan hari tertinggi berlaku ribut petir berjumlah 212 hari di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 2020, manakala rekod tertinggi pernah dicatatkan di Subang pada 1969 dengan rekod 269 hari setahun.
“Disebabkan puting beliung akan menghasilkan angin yang sangat laju, ia boleh merosakkan harta benda, terutamanya terhadap struktur-struktur binaan yang tidak kuat.
“Sekiranya berhadapan dengan puting beliung, jauhkan diri dari kawasan terbabit. Bagi mereka yang berada dalam rumah, seboleh-bolehnya duduk di tingkat bawah dan cari sudut ruang atau bilik paling kukuh binaannya.
“Selain itu, jauhkan diri daripada kawasan yang bercermin seperti tingkap kaca,” katanya.
Ketika ditanya mengenai ciri-ciri kawasan berpotensi berlaku fenomena puting beliung katanya, keadaan muka bumi yang rata membolehkan aliran angin bergerak lebih sekata semasa proses pembentukan awan ribut.
Selain itu, kawasan yang lembap akan membekalkan lebih tenaga kepada pembentukan awan ribut seterusnya menjadikan awan ribut yang terbentuk adalah lebih kuat daripada biasa.
“Kombinasi pembentukan awan ribut yang kuat dan aliran angin yang sekata akan membolehkan terbentuknya puting beliung seperti yang pernah berlaku di Kedah.
“Selain itu, kawasan yang mempunyai tanah rata yang luas juga mempunyai potensi berlakunya puting beliung seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam di Selangor,” ujarnya.
Buat masa ini, MET Malaysia tidak mengeluarkan amaran khusus untuk puting beliung.
Namun, amaran ribut petir yang dikeluarkan di sesuatu lokasi mampu memberi maklumat awal kawasan berpotensi tinggi berlaku kejadian belalai darat atau puting beliung kerana pembentukan fenomena cuaca tersebut bersangkutan dengan kehadiran awan ribut petir.
“Dalam situasi tertentu, misalnya ketika Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh, keadaan sinoptik cuaca lebih mudah dikenal pasti dengan bantuan model-model serta produk berkenaan.
“Justeru, MET Malaysia mampu mengeluarkan peringkat amaran hujan berterusan dalam tempoh satu hingga tiga hari lebih awal,” katanya.
Tambahnya, MET Malaysia kini mempunyai 247 buah stesen cuaca automatik dan 183 buah stesen pencerapan manual di seluruh negara.















