fbpx
GAMBAR HIASAN

Penuntut IPT sakit kelamin akibat seks bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang doktor pakar mendedahkan hampir 60 peratus pesakit yang datang bagi mendapatkan rawatan penyakit kelamin di kliniknya adalah golongan gadis yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Lebih mengejutkan apabila majoritinya melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Antara penyakit kelamin yang dikesan adalah seperti Chlamydia, Syphilis, Gonorrhea Genital Herpes, Human Papilloma Virus (HPV) dan Human Immunodeciency Virus (HIV).

Pengamal Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, Dr. Ahmad Ramdan Zainordin yang mendedahkan perkara itu berkata, hubungan seks bebas dengan lebih daripada seorang pasangan menjadi punca ramai pesakitnya menghidap penyakit kelamin.

AHMAD RAMDAN

Menurutnya, kebanyakan pesakit mengadakan hubungan seksual bersama pasangan-pasangan yang dikenali mereka melalui aplikasi-aplikasi sosial.

“Penyakit ini jika tidak dirawat akan mendedahkan pesakit wanita kepada risiko kemandulan dan kehamilan luar rahim, manakala jangkitan kelenjar prostat bagi lelaki,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dr. Ahmad Ramdan berkata, berdasarkan data lawatan pesakit ke kliniknya dalam tempoh di antara Mei 2020 hingga Mei 2021, seramai 139 orang telah hadir untuk pemeriksaan berkaitan penyakit kelamin atau Sexually Transmitted Infection (STI).

Daripada jumlah itu, seramai 52 orang yang dijangkiti penyakit kelamin berusia antara 20 hingga 29 tahun, 21 orang (30-39 tahun), lima orang (40-49 tahun) dan tiga orang berumur 50 tahun ke atas.

SERING bertukar-tukar pasangan mendedahkan pelaku kepada risiko penyakit kelamin. -Gambar hiasan

Turut dikesan seorang remaja berusia 18 tahun yang telah menghidap penyakit itu.

“Bagi peringkat umur 20 hingga 29 tahun, kira-kira 49 daripada 52 pesakit itu merupakan penuntut di IPT,” ujarnya.

Dr. Ahmad Ramdan yang juga doktor di sebuah klinik di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Kuala Lumpur berkata, kebanyakan penyakit bawaan kelamin boleh dirawat dan sebahagiannya juga boleh disembuhkan.

Misalnya, jangkitan Gonorrhea Genital Herpes dan Chlamydia boleh disembuhkan hampir 100 peratus jika diagnosis serta diberi rawatan awal.

Bagi Syphilis pula, rawatan dengan antibiotik yang diberi pada fasa awal jangkitan meningkatkan peluang kesembuhan sepenuhnya berbanding rawatan pada fasa lewat apabila jangkitannya sudah mula merebak ke organ dalaman termasuk sistem saraf dan jantung.

“Meskipun jangkitan HIV tidak boleh disembuhkan, rawatan dengan kombinasi ubat antiviral yang dipanggil antiretroviral therapy membolehkan jumlah virus dalam badan seseorang menurun sehingga ke paras minimum seawal 4 hingga 6 bulan selepas rawatan.

“Ini membolehkan seseorang yang dijangkiti HIV mencapai status Undetected Viral Load yang mana risiko untuk menjangkiti orang lain adalah sifar,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ‘stigma’ merupakan halangan utama menyebabkan ramai yang malu untuk menjalani pemeriksaan di samping kurangnya pendedahan terhadap risiko-risiko yang bakal dihidap akibat penyakit kelamin.

“Anda tidak semestinya hadir ke klinik atau hospital kerajaan kerana klinik-klinik swasta juga ada menawarkan perkhidmatan pemeriksaan dan saringan penyakit ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN