fbpx

Siasatan kes rogol Paul Yong tidak berat sebelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paul Yong Choo Kiong yang menghadapi tuduhan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia keluar di Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mengikuti perbicaraan kes hari ini. – ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia berpendapat bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong terlibat dalam kes merogol pembantu rumahnya.

Asisten Superintenden Yap Siew Cheng yang merupakan pegawai penyiasat berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan siasatan yang dilakukan berhubung kes tersebut.

Saksi ke-23 itu memberitahu, siasatan pihaknya turut mendapati semua maklumat yang diberikan mangsa termasuk segi tarikh dan masa kejadian adalah sepadan.

Menurut beliau, siasatan dan semakan yang dilakukan dengan syarikat telekomunikasi dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) juga adalah seragam.

Terdahulu, Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika soalan balas telah mencadangkan kepada Siew Cheng bahawa tertuduh tidak merogol mangsa dan wanita itu hanya mereka-reka cerita kerana ingin kembali ke negara asal selain tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

Siew Cheng juga tidak bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa siasatan yang dijalankannya adalah bersifat berat sebelah kerana gagal menyiasat isu-isu yang dibangkitkan tertuduh bahawa mangsa mungkin mempunyai masalah mental dan tertuduh telah dianiaya.

Katanya, dia telah menjalankan siasatan lengkap daripada pelbagai sudut termasuk merakam kenyataan saksi, siasatan di tempat kejadian dan semakan dengan syarikat telekomunikasi.

“Saya tidak setuju kerana saya telah menjalankan siasatan dengan lengkap sehingga mendapat arahan untuk tuduh (di mahkamah),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI