fbpx

Polis buru lelaki samun rantai, dodol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Seorang lelaki menggunakan helah berpura-pura ingin membeli dodol sebelum meragut rantai emas yang dipakai peniaga wanita berkenaan di Kampung Air Tanai, Air Paabas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, suspek yang dipercayai dalam lingkungan usia 20-an turut melarikan dodol jualan mangsa dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 11.40 pagi dan sepasukan polis telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil maklumat awal, mangsa yang berusia 54 tahun mengusahakan dodol warisan keluarga di rumahnya dan ketika kejadian dia tinggal seorang diri.

“Suspek telah datang ke rumah mangsa mendakwa ingin membeli dodol sebelum tiba-tiba bertindak menyentap dan melarikan rantai emas dipakainya yang bernilai kira-kira RM2,000,” katanya.

Tambahnya, suspek juga sempat mengambil dodol jualan wanita terbabit berharga RM30 sebelum meloloskan diri dengan menaiki kereta Myvi bewarna putih.

Ujarnya, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan pihaknya sedang giat memburu suspek yang dipercayai dalam lingkungan usia 20-an.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diharap dapat tampil bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun ragut,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI