Perusahaan pudina menggunakan kaedah hidroponik iaitu bercucuk tanam dengan meletakkan pokok pada air bernutrien boleh disifatkan suatu pendekatan yang jarang diambil di negara ini bagi penanaman dan pengeluaran berskala besar.
Namun, pasangan muda, Muhd. Ridzwan Roslee, 27, dan isterinya, Sabrina Chong Mun Yee, 26, yang baru bernikah sebulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu cuba merintis kelainan itu bahkan usaha penanaman pudina secara komersial tersebut juga dipercayai sebagai yang pertama di Negeri Sembilan.
Tidak mustahil, suatu hari nanti, Kampung Tanjung iaitu kampung kecil di Gadong dalam daerah Rembau ini boleh dikenali kerana keunikan tanaman pudinanya.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
Melangkah masuk ke dalam rumah hijau itu yang dipenuhi aroma tanaman herba pudina begitu menyegarkan.
Kesuburannya tampak terlihat di segenap ruang biarpun tanaman diusahakan pasangan suami isteri muda di tanah pusaka keluarga di Kampung Tanjung, Gadong, Negeri Sembilan itu dengan bantuan dua pekerja sebenarnya masih baru ditanam iaitu kira-kira tiga bulan lalu.
Perusahaan pudina menggunakan kaedah hidroponik iaitu bercucuk tanam dengan meletakkan pokok pada air bernutrien itu juga boleh disifatkan suatu pendekatan yang jarang diambil di negara ini bagi penanaman dan pengeluaran berskala besar.
Namun, pasangan muda, Muhd. Ridzwan Roslee, 27, dan isterinya, Sabrina Chong Mun Yee, 26, yang baru bernikah sebulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu cuba merintis kelainan itu bahkan usaha penanaman pudina secara komersial tersebut juga dipercayai sebagai yang pertama di Negeri Sembilan.

Tidak mustahil, suatu hari nanti, Kampung Tanjung iaitu kampung kecil di Gadong dalam daerah Rembau ini boleh dikenali kerana keunikan tanaman pudinanya.
Menurut Muhd. Ridzwan, dia dan isterinya mempunyai minat yang sama sejak lima tahun lalu semasa mereka baru sahaja bergelar pasangan kekasih.
“Kami baru bercinta, ada minat yang sama iaitu kami nak makan makanan yang sihat macam sayur-sayuran. Semua sayuran memang elok dan berkhasiat tetapi tidak semua sayuran bebas bahan kimia.
“Jadi kami belajar tanam sendiri sayuran organik menggunakan teknik hidroponik. Banyak kelas kami pergi dan akhirnya kami berjaya membuat kebun hidroponik di rumah masing-masing sebelum mengusahakan kebun berskala industri ini bersama-sama,” katanya ketika ditemui K2 di Hydroponic & Organic Farming Kampung Tanjung.
Jelas Muhd. Ridzwan, rumah hijau di Kampung Tanjung berkeluasan kira-kira 2,000 kaki persegi itu dihasilkan setelah melalui pembelajaran demi pembelajaran daripada pelbagai kelas hidroponik.
Muhd. Ridzwan yang merupakan graduan dari Management and Science University (MSU) berkata, sewaktu awal berkebun di rumah masing-masing, mereka menanam pelbagai sayur antaranya bayam, kangkung, pudina dan lain-lain untuk dijadikan makanan sendiri atau dijual dalam kalangan keluarga sahaja.
Bagaimanapun, dalam banyak-banyak tanaman, kedua-dua ibu mereka sangat suka dengan tanaman herba pudina.
“Daripada pudina yang kami tanam, mereka suka buat minyak dan juga teh. Dari situlah saya dan isteri mula merancang memiliki sendiri kebun pudina berkonsepkan hidroponik secara komersial bagi menghasilkan teh dan minyak essential (minyak pati),” kongsinya yang kini mampu meraih tuaian empat tan sebulan.

Menurutnya, mereka memilih untuk melaksanakan kebun hidroponik berkonsepkan nutrient film technique (NFT) atau teknik menampung tanaman secara apungan.
Berbanding tanaman pudina yang lazim ditanam di kebun tanah yang luasnya berhektar-hektar, menerusi keluasan tanaman 2,000 kaki persegi ini, mereka memilih kaedah tanaman menegak (vertical tower pot) melebihi 10 tingkat.
“Buat masa ini, rumah hijau ini dilengkapi 20,000 pot atau pasu dan dianggarkan satu pot boleh menghasilkan daun pudina seberat 200 gram (g) hingga 600g. Malah, disebabkan sistem yang kami gunakan ini menjimatkan ruang, kami miliki akses ruangan yang lebih luas dan mampu membuat 14 barisan tanaman pudina sepanjang 16 meter bagi setiap satunya.
“Barisan berkenaan dibahagikan kepada dua tangki dan dilabelkan dari A hingga G bagi memudahkan kami membuat pantauan usia dan saiz daun pudina agar dapat dituai secara berterusan tanpa henti,” katanya.
Jelasnya, sekiranya ia direalisasikan, kebun mereka mampu menghasilkan sebanyak enam tan daun pudina sebulan.
Terangnya, meskipun tanaman hidroponik menggunakan air, namun kaedah tersebut sebenarnya lebih menjimatkan air berbanding kebun tradisional atas tanah.
“Ia 10 hingga 15 kali ganda lebih jimat. Kami hanya menggunakan 1,000 gelen air sebulan,” katanya.
Mengenai tuaian pula, Muhd. Ridzwan menjelaskan, tuaian dibuat pada awal pagi seawal pukul 5 pagi.
“Tuaian daun pudina dibuat seawal pukul 5 pagi kerana pada waktu berkenaan, aromanya lebih kuat berbanding pada waktu lain,” kongsinya.
Muhd. Ridzwan berkata, pada bulan pertama sahaja mereka sudah berjaya menuai sebanyak 2.6 tan dan tuaian itu telah digunakan bagi menghasilkan teh pudina.
“Bagi produk teh, kami dalam proses akhir sebelum masuk ke pasaran dan sudahpun mendapat kelulusan halal agensi berkaitan.
“Bagi produk minyak pati pula, ia masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D),” kongsinya.

Pun begitu katanya, teh pudina dihasilkan mereka telah diuji rasa kakitangan Jabatan Pertanian dan mendapat maklum balas yang baik.
Tambahnya, mereka telah memiliki empat mesin bagi proses pengasingan bau aroma daun pudina, pengeringan daun, proses mengecilkan saiz daun dan pembungkusan saiz uncang.
“Kami lihat pasaran pudina ini lebih kepada sektor perubatan, kecantikan dan kosmetik. Kalau jualan secara mentah itu jarang ada yang mahu beli. Jadi kami akan fokus kepada jualan dua produk ini.
“Pasaran pudina juga agak meluas memandangkan tidak banyak individu yang mengusahakan kebun pudina secara komersial.
“Cara penanamannya juga senang. Kita hanya potong tunas guna tangan atau gunting dan selepas potong, kita terus masukkan di mana-mana pot kosong. Dalam tempoh sebulan, tanaman pudina akan membesar dan sesuai dituai,” ujarnya.
Sementara itu, Sabrina meluahkan harapan agar usaha mereka itu akan dapat menarik minat orang ramai mengenali tanaman herba pudina.
Menurutnya, jika sebelum ini tidak ramai menyedari potensi serta kelebihan daun pudina, kini mereka boleh menikmati sendiri kelebihannya melalui kebun yang diusahakan mereka berdua.
“Bila pertama di negeri ini, orang nak tahu dan nak cuba sendiri. Malah, kami juga mempunyai perancangan untuk memberi peluang kepada penduduk menghasilkan produk makanan berasaskan daun pudina di sini.
“Mungkin mereka boleh jual laksa, kek atau sebagainya di sini sekiranya tempat ini bersedia menerima kunjungan nanti,” kata graduan Sarjana Undang-Undang dari universiti luar negara itu.
Ujarnya, mereka yang sebelum ini menetap di Selangor kini berhijrah ke Rembau untuk merealisasikan impian memajukan diri menerusi perusahaan pudina berkenaan.














