fbpx
Sebelum pandemik, operasi Nasi Kandar Beratur adalah antara pukul 10 malam dan 9 pagi, namun ia kini terpaksa diubah kepada pukul 2 petang hingga 10 malam.

Tidak perlu beratur nikmati makanan popular di GrabFood 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 telah mengubah banyak perkara. Dari segi cara kita berinteraksi, bekerja dan bersosial, sehinggalah kepada kaedah untuk mendapatkan hidangan yang digemari.

Kalau dahulu, peminat Nasi Kandar Beratur yang tinggal di Butterworth atau Bukit Mertajam perlu datang sendiri ke Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown dan beratur sendiri, kini menu kegemaran mereka sudah boleh ditempah hanya menggunakan hujung jari di telefon pintar.

Pengurusnya, Ajmeer Ali Liyaqat Ali berkata, dengan adanya sokongan peminat serta pelanggan setia sejak tahun 1943 lagi, soal pendigitalan dan perkhidmatan nilai tambah seperti servis penghantaran tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

“Semuanya berubah bermula Mac tahun lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula dilaksanakan yang memaksa perniagaan kami ditutup lebih dua bulan.

“Pada waktu itu, kami baharu mula belajar dan mencuba servis penghantaran makanan yang ditawarkan pelbagai platform. Akhirnya kami pilih perkhidmatan disediakan Grab kerana capaiannya lebih luas, sehingga ke Seberang Prai selain sokongan ekosistem lengkap seperti GrabPay,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Suasana di hadapan restoran Nasi Kandar Beratur sebelum pandemik, yang sentiasa dipenuhi pengunjung yang setia beratur menunggu giliran.

Nasi Kandar Beratur telah tersedia untuk dipesan menerusi GrabFood sejak Oktober 2020 dan menurut Ajmeer Ali, sokongan perkhidmatan GrabFood kritikal buat kelangsungan perniagaannya sepanjang pandemik kerana lokasi restorannya yang bertempat di kawasan pejabat dan premis komersial terletak agak jauh dari kediaman.

Jelasnya, ketika orang ramai tidak hadir ke pejabat untuk bekerja dan banyak premis perniagaan ditutup sepanjang tempoh total lockdown baru-baru ini, perniagaannya banyak bergantung kepada servis penghantaran makanan.

“Ketika fasa penutupan penuh, memang ramai pelanggan kami menggunakan GrabFood sebab mereka tidak boleh rentas daerah sendiri untuk datang,” katanya.

Nasi Kandar Beratur kini dibuka bermula pukul 2 petang hingga 10 malam dan meskipun Pulau Pinang kini telah pun memasuki fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, Ajmeer Ali masih tidak bersedia membenarkan pelanggannya makan di restoran.

Tempahan pelanggan yang telah siap untuk dibawa pulang atau dihantar ke kediaman pelanggan oleh rakan penghantar GrabFood.

“Kami hanya beri bungkus untuk bawa pulang. Walaupun semua kakitangan telah divaksin penuh, kami perlu betul-betul faham SOP terlebih dahulu kerana penalti dikenakan pada peniaga tinggi, RM10,000.

“Peniaga kena pastikan pelanggan pakai pelitup muka dan kadang-kadang kita tak boleh paksa pelanggan untuk buat sesuatu. Saya juga khuatir kalau-kalau ada yang menipu sijil vaksin.

“Buat masa sekarang, sekitar 20 peratus daripada jualan disumbangkan perkhidmatan GrabFood dan selebihnya pelanggan datang ke kedai untuk membungkus makanan,” jelasnya.

Satu lagi lokasi popular dalam kalangan penunggang GrabFood untuk mengambil tempahan ialah Restoran Alibaba & Nyonya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Bezanya, restoran ini telah lama menggunakan khidmat GrabFood, sejak tahun 2019 lagi.

Aneka pilihan nasi goreng, antara menu paling popular Alibaba & Nyonya di GrabFood.

Jelas Penolong Pengurus Pemasarannya, Jessica Tan, sebelum pandemik lagi, ramai pelanggannya memilih untuk menggunakan servis GrabFood kerana kesukaran mendapatkan parkir di lokasi restoran.

“Sekarang pun ketika makan di restoran telah dibenarkan, pelanggan kami masih dilihat agak bimbang dan kurang selesa untuk makan di kedai.

“Ketika ini, GrabFood dianggarkan menyumbang 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan jualan. Pesanan menu paling popular ialah nasi goreng dan kami sememangnya memiliki seleksi pelbagai jenis nasi goreng untuk dipilih,” katanya.

Restoran Shanmuga sering dipenuhi pengunjung.

Bagi yang suka bersantai di kedai mamak, jangan terkejut kedai mamak antara restoran yang banyak menerima tempahan di GrabFood.

Menurut Pengusaha Restoran Shanmuga di Taman Berkeley, Klang, Alagendram a/l Ponnusamy, jualan hariannya menerusi GrabFood adalah sekitar RM500 hingga RM600 sehari.

“Mereka suka pesan roti nan, roti canai, nasi lemak dan mi atau maggi goreng.  

“Saya fikir sebab senang, pelanggan tak perlu bazirkan duit petrol untuk datang dan mereka hanya perlu tunggu 10 minit hingga 20 minit untuk pesanan sampai ke rumah,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR