fbpx

Masa depan Hafizh terus jadi persoalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZH SYAHRIN dikatakan mahu melihat potensi lain sama ada meneruskan kerjasama dengan pasukan sedia ada atau mencari pasukan baharu atau sertai perlumbaan lain.

KETIKA ramai pelumba sudah dilihat mengisi tempat bersama pasukan baharu, nasib pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) masih menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, pengurus pa­sukan Hafizh, Razmin ­Masli Abdul Razak mendedahkan, pihaknya masih bekerja keras untuk mendapatkan tempat terbaik buat anak buahnya bagi meneruskan karier dalam perlumbaan dua roda musim depan.

Kata Razmin, ketika ini pihaknya bukan sahaja mencari pasukan terbaik pada saingan MotoGP, malah turut melihat peluang lain seperti menyertai kejuaraan luar daripada MotoGP.

“Ketika ini, kita sedang melihat peluang-peluang terbaik buat Hafizh terutama kariernya menjelang saingan musim 2022 nanti. Kita juga melihat potensi lain sama ada meneruskan kerjasama dengan pasukan ketika ini, mencari pasukan baharu atau sertai perlumbaan lain.

“Saya mengesahkan bahawa pasukan ada bertanya berkenaan perjalanan Hafizh bersama musim depan sama nak sambung atau pun tidak. Buat masa ini, mereka masih berminat untuk bersama Hafizh, cuma ketika ini kita masih belum melakukan perbincangan lebih mendalam berkenaan soal itu.

“Kita tidak tutup peluang yang kita ada buat masa ini. Kita akan menilai peluang terbaik buat Hafizh pada tahun depan. Apa yang saya boleh katakan, dia masih mahu berlumba dan berkemampuan untuk melakukan yang terbaik,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketika ini, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengesahkan seramai 15 pasukan kelas Moto2 akan mengambil tempat bagi saingan perlumbaan 2022 dengan melibatkan 30 pelumba.

Antara pasukan yang me­nyertai perlumbaan musim depan ialah American Racing, Aramco VR46 Team, Aspar Team, Elf Marc VDS Racing Team, Flexbox HP40, Idemitsu Honda Team Asia, Italtrans Racing Team, Liqui Moly Intact GP, MV Agusta Racing GP.

Enam lagi pasukan ialah NTS RW Racing GP, Pertamina Mandalika SAG Team, Red Bull KTM Ajo, Speedup Racing, Team Gresini Moto2, Yamaha VR46 Master Camp Team.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI