fbpx

Laki bini cerai-berai angkara tiada wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

RAMAI pasangan yang berkahwin mengimpikan rumah tangga yang aman dan bahagia serta kekal hingga ke hujung nyawa.

Namun, disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tanpa diduga, bahagia yang diidamkan punah di tengah jalan angkara kehadiran Covid-19.

Sepertimana yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Jumlah itu sangat membimbangkan, malah boleh mendatangkan rasa takut dan bimbang buat mereka yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Faezah Nayan, faktor kewangan dikesan menjadi antara punca utama yang mendorong pasangan memilih untuk berpisah.

“Ini kerana, ramai suami hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja atau dipotong gaji angkara Covid-19.

“Kehilangan pekerjaan telah mencetuskan masalah besar dalam sesebuah keluarga. Ia menyebabkan suami selaku ketua keluarga tidak mampu lagi menyediakan keperluan harian se­perti makanan, lampin, susu anak dan membayar hutang-hutang bank,” ujarnya.

Menurutnya, masalah kewa­ngan akan mencetuskan konflik dan pergaduhan antara suami dengan isteri disebabkan oleh tekanan yang akhirnya menyebabkan wujudnya ketidaksefahaman di antara satu sama lain.

Jadi apakah mekanisme terbaik yang boleh dipraktikkan pasangan bagi membaik pulih hubungan yang nyaris retak dalam usaha menyelamatkan rumah tangga?

Bagi Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Shazli Ezzat Ghazali, peningkatan kesedaran mengenai pengurusan psikologi diri penting untuk bangkit dan bangun menjadi individu yang berupaya bertindak dengan baik dalam menguruskan tekanan.

“Institusi kekeluargaan yang berada dalam tekanan psikologi perlu dibantu secara efektif bagi menghalang keruntuhan keluar­ga yang lebih teruk dalam kala­ngan masyarakat.

“Pemberian bantuan dan so­ko­ngan kerajaan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya komunikasi amat penting sebagai perantara awal untuk menyampaikan maklumat kepada pasangan tentang kesukaran hidup yang dihadapi.

“Namun, ia perlu disampaikan dengan tenang, jelas dan penuh berempati supaya boleh mencari jalan terbaik bersama-sama untuk mengatasi masalah yang dihadapi,” ujarnya.

Jelas beliau, komunikasi yang baik juga berupaya mengawal psikologi diri seperti emosi, pemikiran dan tingkah laku dalam usaha mempertahankan perceraian daripada terus meningkat.

Secara tuntasnya, komunikasi dua hala antara pasangan dilihat sangat penting dalam menyuarakan rasa tidak puas hati bukan sahaja melibatkan soal emosi bahkan juga dari segi faktor kewangan, pekerjaan dan kesihatan.

Sikap menuding jari antara satu sama lain termasuk ego dan pentingkan diri sendiri langsung tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi bahkan bakal meranapkan mahligai yang dibina hanya dalam sekelip mata. Jadi tepuklah dada, tanyalah selera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI