fbpx
MENERUSI u-Pustaka kelolaan PNM, rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja boleh mengakses pelbagai bahan bacaan perpustakaan itu.- Foto BALQIS MISHA

u-Pustaka Perpustakaan Negara Malaysia medan ilmu rentasi sempadan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERANTAU jauh ribuan kilometer kerana bertugas sebagai pensyarah subjek Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Antarabangsa Sichuan, Chongqing, China tidak menghalang Siti Rohanafizah Abu Aziz untuk menggunakan perkhidmatan u-Pustaka yang disediakan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Menurut penulis karya kreatif di sebalik nama pena Hanna Aleesya itu, kebanyakan bahan bacaan yang dicari di platform tersebut merupakan penulisan ilmiah dalam bidang pengajian Bahasa Melayu memandangkan dia tiada akses bahan bacaan seumpama itu di China.

“Saya sebenarnya telah menggunakan u-Pustaka sejak tahun 2017 yang sangat memudahkan urusan saya untuk mengakses bahan-bahan bacaan yang diperlukan pada bila-bila masa sahaja walau di mana jua saya berada.

“Ia memainkan peranan penting buat diri saya yang bakal melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun hadapan,” ujar anak kelahiran Baling, Kedah itu ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Siti Rohanafizah, 34, turut tidak ketinggalan membaca akhbar dalam talian yang terdapat dalam pangkalan data u-Pustaka hampir setiap hari untuk mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di tanah air.

Baginya maklumat tersebut penting untuk beliau membekalkan maklumat terkini mengenai Malaysia kepada pelajar-pelajarnya berdasarkan sumber sahih dan boleh dipercayai.

PERPUSTAKAAN Negara Malaysia (PNM) terletak di Jalan Tun Razak, Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Setakat ini, Siti Rohanafizah tidak menghadapi masalah untuk mengakses maklumat dalam u-Pustaka di samping turut mendisiplinkan dirinya untuk membaca buku setiap hari sekurang-kurangnya lima muka surat pada masa sama menyediakan nota ringkas sebagai ulasan bahan bacaan tersebut.

“Saya merupakan pelawat tegar di PNM sejak tahun 2008 ketika menuntut di Universiti Malaya termasuk semasa sudah bekerja di Kuala Lumpur selama sembilan tahun sehingga tahun 2019.

“Selalunya saya ke PNM untuk membaca bahan bacaan berkaitan Bahasa Melayu memandangkan bidang pengajian saya ialah bidang Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

“Saya juga gemar mengunjungi bahagian arkib untuk membuat rujukan berkaitan penyelidikan selain membaca pelbagai jenis karya-karya lain yang menarik minat saya,” jelasnya yang berhijrah ke China sejak tahun lalu.

SITI ROHANAFIZAH

Berbeza pula dengan Nazhah Hussain, 41, yang mula meneroka saluran alternatif seperti u-Pustaka sejak beberapa bulan lalu apabila berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan kegemarannya berikutan penutupan perpustakaan dan sekatan pergerakan pada musim pandemik.

Usahawan kek dan suri rumah tangga itu berkata, hampir setiap hari dia meluangkan masa membaca buku yang kebanyakannya terdiri daripada novel bahasa Melayu, Inggeris, naskhah berbentuk self-help, selain karya fiksyen dan buku cerita kanak-kanak untuk dua cahaya matanya.

“Saya sebenarnya sudah mendaftar sebagai ahli u-Pustaka sejak Mei 2016 tetapi baru kembali aktif tahun ini. Sebelum berpindah dari Gombak, kami sekeluarga kerap ke PNM dan Perpustakaan Kuala Lumpur sejak tahun 2000 untuk mendapatkan bahan bacaan.

“Namun, selepas berpindah ke Puncak Alam pada tahun 2015, kami jarang berpeluang ke sana kerana kekangan masa dan faktor jarak yang agak jauh,” tuturnya.
Justeru, Nazhah berpendapat, musim pandemik tidak menghalang peminat buku sepertinya mendapatkan bahan bacaan dari perpustakaan sama ada secara fizikal atau digital memandangkan banyak inisiatif disediakan untuk kemudahan pengguna sesuai dengan situasi semasa.

Dalam hal ini, tempoh panjang pandemik juga dilihat mempercepatkan proses digitalisasi perpustakaan dengan akses u-Pustaka PNM meningkat sebanyak 241 peratus sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun lalu.

Ketua Pengarah PNM, Salasiah Abdul Wahab berkata, keahlian u-Pustaka setakat 8 Jun lalu berjumlah 540,654 orang dengan purata pengguna menggunakan perkhidmatan itu mencecah 5,800 pengguna sehari.

“Sebanyak 22 pangkalan data berbentuk e-buku, e-majalah, e-jurnal, e-surat khabar, e-rujukan dan portal e-pembelajaran tersedia untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai ahli.

“Dalam hal ini, PNM menawarkan sejumlah 52.9 juta bahan bacaan digital secara percuma yang boleh dicapai menerusi portal u-Pustaka,” jelasnya yang memaklumkan untuk menjadi ahli pustaka, orang ramai perlu mendaftarnya di laman web https://www.u-library.gov.my/portal/.

SALASIAH

Bahkan, beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 tidak menjadi penghalang untuk PNM melaksanakan pelbagai program galakan membaca sebagai usaha berterusan bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, PNM telah merancang lebih 80 program atau aktiviti secara online sesuai dengan norma baharu ketika ini antaranya program Negara Membaca, Pencinta Buku, Travelog Baca, Pertandingan Famili Malaysia

Membaca dan Anugerah Pembaca Aktif. Turut diadakan International Storytelling Festival Malaysia 2021, Bicara Penerbit Malaysia, Wacana Program Pembudayaan Tulisan Jawi, Wacana Maya Manuskrip Melayu, Kalam Karyawan, Program Literasi Maklumat dan Eksplorasi Digital Pangkalan Data.

“PNM akan terus mengadakan taklimat secara online mengenai panduan mengakses, meminjam dan membaca bahan-bahan digital yang terdapat dalam u-Pustaka dengan terdahulu sebanyak 12 latihan penggunaan u-Pustaka telah dijalankan,” jelasnya.

Kongsinya, trend kunjungan fizikal ke PNM sebelum pandemik menunjukkan peningkatan iaitu 369,610 pada 2017, 403,656 (2018) dan 453,467 (2019), namun merudum kepada 108,012 (2020) dan 7,203 setakat April lalu selepas penularan Covid-19.

Pun begitu, dedahnya, ia membuka lembaran baharu dalam konteks pengunjung maya dengan masyarakat mula memanfaatkan perkhidmatan digital PNM melalui u-Pustaka yang menyaksikan peningkatan ketara penggunaan bahan digital semasa PKP iaitu sebanyak 54.8 peratus penggunaan.

Beliau percaya, perpustakaan masih relevan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi sumber rujukan penting untuk mendapatkan maklumat sahih dan berautoriti.

“Pembukaan perpustakaan pula amat dinantikan kerana sesetengah bahan rujukan masih belum didigitalkan dan perlu dirujuk secara fizikal. Sebagai contoh bahan rujukan Manuskrip Melayu, Koleksi Nadir, Koleksi Peribadi dan juga akta.

“Para pelajar dan penyelidik sudah tentu akan memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan PNM kerana kepelbagaian sumber rujukan yang ada,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN