fbpx

Lebih 300,000 unit pembasmi kuman diagih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIHAK PBSM akan mengagihkan 386,500 unit cecair pembasmi kuman sumbangan Reckitt kepada masyarakat di negara ini termasuk komuniti rentan dan pihak memerlukan.

SYARIKAT pengeluar produk penjagaan kesihatan, Reckitt baru-baru ini secara rasminya menyumbangkan lebih 386,500 unit produk kebersihan atau kesihatan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia selaras dengan perkongsian global Reckitt dalam program Pakatan Kerjasama Bantuan Bencana Palang Merah British.

Sumbangan Reckitt tersebut akan menyokong inisiatif organisasi itu untuk menangani situasi pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan dengan teruk komuniti rentan dan masyarakat luar bandar sekali gus memperteguh sokongan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak dahsyat ini.

Pihak PBSM di peringkat pusat akan berganding bahu dengan 16 pejabat negeri bagi persatuan itu di seluruh Malaysia untuk mengendalikan pengagihan barangan itu di peringkat negeri dan daerah masing-masing.

Di peringkat negeri dan daerah ini, rangkaian PBSM akan melakukan pengagihan ke pusat-pusat pemberian vaksin (PPV), hospital-hospital kerajaan, klinik-klinik komuniti, rumah-rumah warga emas, rakyat Malaysia secara umum melibatkan komuniti luar bandar serta kumpulan rentan seperti golongan gelandangan, pelarian dan orang tak bernegara.

Sumbangan derma ini meliputi 386,500 unit cecair pembasmi kuman Dettol bernilai RM3 juta.

Selain derma produk yang proaktif bagi kesiapsiagaan kecemasan, perkongsian global Reckitt juga membabitkan derma RM1.5 juta lagi kepada Kerjasama Bantuan Bencana Palang Merah meliputi masa pekerjanya menerusi inisiatif kesukarelawanan dan inisiatif pengumpulan dana pekerja.

Sejak meletusnya pandemik Covid-19 tahun lalu, Reckitt Malaysia telah memperlihatkan sokongan yang konsisten dan mantap kepada komuniti-komuniti tempatan dengan menjalankan 26 inisiatif derma berjumlah RM1.2 juta.

DARI kiri: Balcazar, Tunku Puteri Safinaz, Hay dan Mohamed Alwi semasa majlis penyerahan sumbangan oleh Reckitt di Kuala Lumpur
baru-baru ini.

Pihak-pihak penerimanya termasuklah hospital, pusat perubatan, program kerajaan dan peruncit.

“Misi Reckitt adalah untuk melindungi, menyembuh dan memelihara. Memandangkan lonjakan bilangan kes baru-baru ini, pihak kami merasa terpanggil untuk bertindak melindungi rakyat Malaysia dalam perjuangan untuk mewujudkan dunia yang lebih bersih dan sihat,” kata Pengurus Besar Serantau Reckitt Malaysia, Singapura dan Vietnam, Gonzalo Balcazar dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Balcazar berkata, krisis ini memerlukan usaha kemanusiaan berskala besar dan pihaknya gembira dapat berganding bahu dengan PBSM Malaysia untuk memastikan kesinambungan usaha itu.

“Kempen derma ini selaras dengan perjuangan kami untuk melipatgandakan akses kepada produk-produk kesihatan penting yang menjadi teras perjuangan melawan Covid-19 ini, menanamkan tabiat kesihatan yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya kekal melindungi diri biarpun selepas selesai menerima vaksin,” ujarnya.

Majlis penyampaiannya yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini disertai Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Pemerintah Bersama Pasukan Petugas Khas dan Ahli Lembaga Pengelola PBSM Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Alwi Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay.

BALCAZAR percaya cecair pembasmi kuman adalah ‘senjata’ yang dapat melindungi masyarakat dalam situasi pandemik kala ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, PBSM terhutang budi kepada Reckitt Malaysia atas sumbangan cecair pembasmi kuman Dettol itu yang begitu penting dalam usaha penjagaan kebersihan dan kesihatan.

“Saya yakin sumbangan derma ini akan dapat membantu mencapai matlamat komuniti kita serta bermanfaat dalam mencegah jangkitan virus dalam kalangan individu dan komuniti rentan,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI