LONDON – Seorang lelaki di Britain tidak lagi bimbang untuk menanggung kos perkahwinannya selepas dia menjual tiga keping kad Pokemon jarang ditemui dengan jumlah harga £32,800 (RM175,417), lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Andrew Braund menemui koleksi kad Pokemon yang berusia 20 tahun itu semasa membersihkan barang di loteng rumah ibu bapanya.
Kad-kad tersebut dilelong di Ewbank’s yang terletak di Woking, Surrey kelmarin, dengan masing-masing dijual pada harga £17,000 (RM90,918), £13,000 (RM69,525) dan £2,800 (RM14,975).
Braund mengumpul kad Pokemon itu sejak kecil lagi. Nilai sebenar koleksi tersebut diketahui selepas ia ditunjukkan kepada rakannya yang merupakan seorang pengumpul.
“Saya adalah pengumpul kad Pokémon dari usia lapan hingga 15 tahun tetapi kebanyakan koleksi saya agak uzur, jadi saya tidak menyangka ia akan mempunyai nilai.
“Saya menemui kad-kad itu selepas berpindah beberapa tahun lalu, ketika ibu bapa meminta saya untuk mengemas barang-barang saya.
“Saya membawanya kepada seorang rakan yang mengendalikan kedai kad dagangan untuk mendapatkan pendapatnya dan menjangkakan nilainya sekitar £500 (RM2,674),” kata Braund.
Branund menambah, dia dan pasangannya, Rachel kini tidak perlu risau tentang pembiayaan untuk majlis perkahwinan mereka. – AGENSI














