fbpx

Dana berkurangan, ramai mendesak, Abby tutup Wallet Kasih PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABBY mengakui berasa sedih kerana terpaksa menutup Wallet Kasih PKP kerana masih ramai yang tidak sempat dibantunya.

PETALING JAYA – Sepanjang hampir dua tahun membuka tabung saluran kebajikan kendaliannya, Wallet Kasih PKP bagi membantu golongan terjejas sepanjang pandemik, pelakon Abby Abadi mengumumkan terpaksa menutup bantuan tersebut bermula semalam.

Abby mendedahkan, faktor yang menyebabkan dia terpaksa mengambil keputusan sebegitu disebabkan semakin ramai yang datang meminta bantuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlarutan, tetapi dana yang ada pula semakin berkurangan.

Lebih tragis dedah pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 44, itu, terdapat juga segelintir penerima yang bertindak kerap mendesak bantuan berulang kali.

“Tak siapa dapat jangka, PKP berlangsung terlalu lama sampai semua rasa bosan dengan keadaan. Elok semangat nak bersedekah dan berkongsi setiap hari, tapi bila lama sangat situasi ini, semua jadi lelah. Lama-lama semangat pun hilang.

“Dua tahun yang penuh cabaran. Walaupun saya tiada pergi tangkap gambar untuk penyerahan bantuan, tapi ramai ya yang telah dibantu. Dapatlah meringankan beban untuk membeli serba sedikit barang keperluan.

“Saya minta maaf, terpaksa tutup sebab makin tak terkawal. Orang memohon semakin ramai, tapi dana makin kurang. Ada juga yang dah dapat, mendesak tak pernah cukup. Sudahnya, tak payahlah dibantu. Tunggu sajalah bantuan kerajaan ya,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Biarpun begitu, pelakon Gerak Khas itu memaklumkan bahawa baki yang ada dalam akaun tabung berkenaan iaitu sebanyak RM5,000 hasil sumbangan orang ramai telah diagihkan kepada yang memerlukan.

“Tak pasti penutupan ini sementara atau selamanya. Alhamdulillah selama ini, dana sentiasa dan selalu ada. Kalau tiada, saya tambah dengan duit apa yang ada sebab saya tahu, Allah Maha Tahu.

“Hari biasa pernah juga dapat kumpul RM2,000 hingga RM5,000. Hari Jumaat selalu paling tinggi jumlah kutipan, pernah sekali dapat RM25,000,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, isteri kepada Muhammad Faizal Zakari itu berkata, sepanjang melakukan aktiviti sumbangan melibatkan Wallet Kasih PKP, dia tidak pernah meminta sebarang balasan dan melakukannya kerana Allah SWT.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyalurkan sumbangan sepanjang operasi Wallet Kasih PKP termasuklah rakan-rakan selebriti.

“Sengaja saya letak wajah sendiri dalam hantara ini, sebab nak mereka tahu dan ingat bahawa saya menolong mereka kerana Allah. Tiada niat apa-apa, tidak minta dibalas. Tiada kepentingan apa-apa langsung.

“Terima kasih kepada semua dermawan yang budiman, sahabat selebriti yang sudi nak berkongsi. Semoga Allah reda dengan usaha kecil ini, amin,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI