fbpx
KAYU api dijual secara ikat sedia untuk dipasarkan kepada orang ramai dan pengusaha kedai makan.

Kayu terbiar kini jadi lubuk duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka kayu terbuang yang mungkin tidak berharga bagi sesetengah orang, tetapi jika kena caranya boleh mendatangkan duit.

Kayu lama yang terbiar kini boleh dijadikan kayu api yang mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran besar yang mengusahakan makanan seperti piza, roti dan ayam panggang resipi Barat.

Selain itu, ia juga dapat dijadikan perabot yang tidak kurang cantiknya, tetapi perlu bersabar dalam menghasilkannya dan sudah pasti hasilnya memuaskan hati semua pihak.

Harga satu set mengandungi dua kerusi dan satu meja kayu boleh mencecah hingga RM2,000 hingga RM2,500.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

ARUS pemodenan bukan penghalang amalan lama atau tradisi untuk terus dikekalkan sehingga ke akhir hayat dunia ini. Sememangnya zaman kian berubah tetapi tidak bermakna cara hidup yang lama itu patut kita tinggalkan sama sekali.

Bahkan, terdapat sesetengah amalan yang menjadi budaya sesuatu masyarakat, bangsa atau kelompok komuniti tetap dipertahankan ekoran nilai dan manfaat daripadanya.

Sebagai contoh, pada zaman serba canggih hari ini, penggunaan kayu api di kawasan pedalaman seperti di kampung-kampung masih menjadi lumrah.

Namun di bandar-bandar bahan bakar tersebut sebenarnya tetap relevan dalam industri tertentu.

Biarpun sudah ada dapur gas atau cara memasak yang moden, sesetengah orang masih menggunakan kayu api kerana percaya ‘ada sesuatu yang istimewa’ pada cara masakan sedemikian.

Ironinya, kayu api yang dikaitkan dengan elemen tradisional itu tetap diperlukan dalam masakan Barat.

Seorang pengusaha kayu api di Kuala Langat, Selangor, Jumali Sapar, 61, berkata, permintaan kayu api masih tinggi dalam industri makanan seperti piza, roti dan ayam panggang resipi Barat.

“Bukan semua makanan di restoran dimasak menggunakan dapur gas. Ada masakan secara panggang atau salai menggunakan kayu api.

SEJUMLAH timbunan kayu yang dipotong memenuhi laman rumah Jumali di Kampung Kebun Baru, Kuala Langat, Selangor.

“Permintaan tinggi untuk hidangan dengan kaedah pembakaran kayu api menyebabkan ada pelanggan saya dari Johor Baharu, Johor; Kuala Kangsar, Perak dan Genting Highlands, Pahang yang membuat pesanan,” katanya kepada Panorama di perusahaan kayu api di rumahnya di Jalan Melati, Kampung Kebun Baru, Kuala Langat baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu yang turut disertai Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah, kru Panorama menyaksikan timbunan pelbagai jenis kayu yang dipotong besar dan kecil di laman rumahnya.

Ada kayu pokok getah, rambutan, cempedak dan lain-lain di situ.
Menurut Jumali, rata-rata pokok itu ialah pokok-pokok terbuang yang tumbang atau ditebang orang kerana pembinaan kawasan perumahan di sekitar Kuala Langat.

Siapa sangka, bahan terbuang itu kini menjadi sumber pendapatan Jumali yang juga merupakan peniaga roti canai.

Menurut Jumali, biarpun pendapatan jumlah hasil jualan kayu apa tidak menentu tetapi dia mampu mendapatkan keuntungan bersih bulanan yang agak lumayan.

Mengulas lanjut mengenai permintaan, Jumali yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak tiga tahun lalu berkata, terdapat pengusaha masakan dari Kuala Lumpur yang mengusahakan restoran makanan Turki memesan kayu api setiap bulan.

Katanya lagi, masakan negara tersebut dikatakan akan menjadi lebih enak jika dimasak dengan kayu api daripada pokok getah.

“Bermula dari satu restoran, lama-kelamaan pengusaha restoran tersebut mencadangkan saya menghantar kayu api ke restoran yang menyajikan masakan sama di Johor Bahru pula.

“Permintaan tempatan bagi kayu juga menggalakkan untuk tujuan memasak lemang selain untuk program perkhemahan,”katanya.

JUMALI (kiri) turut menerima kunjungan Abdul Razak untuk mendapatkan kayu bagi pembuatan rostrum.

Menurutnya, kayu api tersebut berharga RM20 seikat dan dijual borong satu palet dengan harga RM100.

Selain daripada perniagaan kayu api, Jumali memberitahu beliau juga menghasilkan perabot unik seperti kerusi dan meja daripada batang pokok diambil dari kawasan kampung.

Menurut Jumali, harga satu set mengandungi dua kerusi dan satu meja kayu boleh mencecah hingga RM2,000 hingga RM2,500.

“Sememangnya kayu terbuang boleh dikomersialkan sebagai perabot tetapi ia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk membuatnya. Kayu perlu dipilih dan dipotong dengan teliti menggunakan mesin bergergaji rantai sebelum diselek dan dijemur untuk beberapa hari.

“Perabot daripada kayu terbuang tersebut juga boleh tahan, empat hingga lima tahun. Kebanyakannya ditempah oleh orang tempatan disebabkan faktor bekalan kayu yang terhad,”ujarnya.

Mengulas lanjut, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) transaksi terhalang disebabkan kayu api dianggap bukan sebagai produk di bawah senarai perniagaan penting.

Jelasnya lagi, ini menyebabkan penghantaran ke luar Daerah Kuala Langat dihentikan beberapa bulan sebelum disambung semula baru-baru ini.

SELAIN menjual kayu api, Jumali juga mengusahakan pembuatan perabot daripada kayu-kayan

Sementara itu usaha Jumali mengusahakan kayu api dan perabot turut mendapat pujian Dr. Abdul Razak, yang menganggap perabot seperti kerusi dan meja diperbuat dari kayu terbuang bernilai estetika tinggi.

Beliau juga menempah rostrum kayu untuk kegunaan PPK Kuala Langat sebagai pengiktirafan terhadap hasil kraf Jumali yang juga merupakan ahli PPK daerah tersebut.

“Jumali juga memberi peluang kepada anak muda kampung ini untuk mengambil upah mengikat kayu api.

“Kita juga akan membantu Jumali untuk memasarkan perabot dan kayu api bagi memastikan aktiviti ekonomi itu terus berjalan lancar walaupun semasa Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa 2,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN