fbpx
PADA awal jalani kehidupan sebagai PJJ, Zubir kerap menghubungi isteri dan anak-anaknya bagi melepas rindu dan bertanya khabar. – GAMBAR HIASAN

K2

Suami PJJ curang selepas terpikat rakan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ATI mana tidak remuk selepas segala kepercayaan diberikan buat suami yang bekerja berjauhan daripada keluarga didapati mempunyai kekasih gelap.

Itu yang dialami oleh seorang wanita dalam kisah rumah tangga menerusi kolum Dari Mahkamah Syariah Minggu ini yang banyak memberi kesedaran dan pengajaran berguna kepada semua.

Dalam hal ini, siapa yang perlu dipersalahkan? Jawapannya mungkin salahkan sang suami yang tidak tahan godaan setelah tinggal berjauhan dengan isteri dan anak-anak.

Sepatutnya, sabar dan tahan nafsu kerana apabila berlaku perceraian, anak-anak jadi mangsa.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
BAHTERA perkahwinan antara Zubir dan Amira (bukan nama sebenar) pada awalnya berjalan lancar tanpa ada sebarang konflik besar.

Sepanjang perkahwinan selama hampir lima tahun, pasangan yang menetap di Lembah Klang itu dikurniakan dua orang cahaya mata yang masing-masing berusia dua dan empat tahun.

Amira bekerja sebagai staf pengurusan di sebuah syarikat telekomunikasi, manakala Zubir pula merupakan kakitangan kerajaan yang bertugas sebagai guru di salah sebuah sekolah di Putrajaya.

Perjalanan hubungan mereka tampak sempurna sehinggalah pada tahun 2018 apabila Zubir dinaikkan pangkat sebagai guru penolong kanan di Pulau Pinang.

Pada mulanya, Zubir yang berusia 40 tahun agak berat hati untuk tinggal berjauhan dalam tempoh lama dengan isteri dan anak-anaknya memandangkan mereka tidak pernah berjauhan.

“Sepanjang berkahwin, suami memang tidak pernah tinggal berjauhan daripada saya dan anak-anak. Tetapi disebabkan tuntutan tugas, saya dan Zubir terpaksa berjauhan.

“Zubir ada terfikir untuk menolak kenaikan pangkat itu. Namun, selepas memikirkan tawaran gaji besar dan perjalanan karier lebih baik, dia menerima pertukaran itu,” ujar Amira ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Di Pulau Pinang, Zubir memilih untuk tinggal di sebuah kondominium yang terletak berhampiran sekolah dia bertugas bagi memudahkannya berulang-alik setiap hari.

Menurut Amira, peringkat awal menjalani kehidupan sebagai pasangan jarak jauh (PJJ) tampak berjalan lancar dengan Zubir sentiasa menghubungi mereka setiap hari.

Katanya, pada sebelah malam, mereka berhubung melalui panggilan video bagi membolehkan Zubir berhubung dan bertanya khabar dengan anak-anak.

“Pada hujung minggu pula, Zubir pulang ke ibu kota melawat saya dan anak-anak sama ada dengan menaiki kenderaan sendiri atau menggunakan bas.

“Perkara-perkara yang dilakukan oleh Zubir itu menyebabkan saya rasa tiada masalah untuk menjalinkan perhubungan PJJ. Malah, hubungan kami menjadi bertambah erat,” katanya.

Sepanjang PJJ, Amira bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala keperluan rumah termasuk menghantar dan mengambil anak-anak ke pusat jagaan kanak-kanak pada setiap hari.

Selepas hampir setahun menjalani hubungan PJJ, Amira mula berasa ada perubahan apabila suaminya sudah jarang berhubung untuk bertanya khabar dia dan anak-anak.

Zubir juga tidak lagi pulang melawat Amira dan anak-anak setiap hujung minggu.

Sebaliknya, Zubir pulang selepas dua minggu atau sebulan sekali sahaja.
Alasan yang diberikan adalah dia sibuk dengan tugasan di sekolah, selain perlu menjalani kursus anjuran kementerian pada hujung minggu.

“Saya tidak syak sebarang perkara negatif apabila Zubir memberi alasan dia tidak dapat selalu telefon atau pulang ke ibu kota.

SEORANG rakan Amira sempat merakam gambar Zubir dan seorang wanita berjalan berpegangan tangan selepas keluar dari satu tempat. –GAMBAR HIASAN

“Saya memahami kerjaya sebagai guru ini kadang-kadang sibuk,” tegasnya.
Bagaimanapun, kepercayaan Amira terhadap Zubir seakan direntap selepas mendapat tahu suaminya mempunyai kekasih yang juga merupakan seorang guru di sekolahnya mengajar.

Ceritanya, dia mendapat berita tersebut daripada salah seorang rakannya yang sama-sama menuntut di universiti yang juga seorang guru di negeri berkenaan.

“Hati saya hancur apabila mendapat tahu Zubir rapat dengan seorang guru wanita di sekolahnya.

“Kawan saya beritahu, dia selalu nampak Zubir bersama wanita itu selepas waktu sekolah.

“Malah, kawan saya ada merakam gambar Zubir makan berdua serta berjalan berpegangan tangan bersama wanita berkenaan di sebuah pusat beli-belah,” imbaunya.

Desakan hati yang membuak-buak membuatkan Amira segera menghubungi Zubir untuk meminta kepastian mengenai berita tersebut.

Pada mulanya, Zubir menafikannya dan memberi alasan berjumpa wanita berkenaan atas dasar kerja.

Bagaimanapun, selepas menunjukkan bukti bergambar, Zubir terkedu seketika sebelum akhirnya mengakui dia mempunyai hubungan istimewa dengan wanita terbabit.

“Zubir beritahu, dia berkawan dengan wanita berkenaan atas dasar kerja sebelum menjadi serius apabila selalu keluar makan bersama selepas sesi persekolahan.

“Dia juga memaklumkan, wanita itu masih bujang walaupun usianya sudah menjangkau awal 30-an.

“Ketika itu, saya memang nekad berpisah dengan Zubir kerana enggan hidup bermadu,” tegasnya.

Zubir menerima permintaan Amira untuk berpisah secara baik di mahkamah syariah memandangkan masing-masing sudah tidak mempunyai persefahaman untuk terus hidup bersama.

“Hakim ada beritahu kami bahawa hidup secara PJJ ini memerlukan kejujuran dan saling mempercayai antara satu sama lain.

“Jika kedua-dua elemen itu sudah tiada, memang sukar untuk terus bersama,” ujar Amira menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN