fbpx
NABILA mengalami kerugian sebanyak RM2,000 selepas salah satu cawangan kedai ayam goreng miliknya dipecah masuk malam tadi.

Jangan mencuri, kalau nak kerja saya cuba bantu – Nabila Razali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Janganlah mencuri, jika nak kerja saya boleh cuba serapkan sebagai staf.”

Demikian respons penyanyi popular Nabila Razali apabila salah satu cawangan gerai ayam goreng miliknya, Ayo Fried Chicken yang terletak di Masok Food Court, Kampung Baru dipecah hari ini.

Ujar pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd Razali itu, walaupun kecewa, dia percaya kejadian tersebut berlaku kerana faktor desakan hidup pada waktu sukar ketika ini.

“Ya, memang terkejut dan sedih apabila dengar Ayo Fried Chicken cawangan Kampung Baru dipecah masuk.

“Walaupun begitu, saya faham keadaan sekarang ini ramai yang memerlukan wang kerana desakan hidup dan mungkin tak tahu bagaimana lagi caranya untuk mendapatkan duit,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Disebabkan itu, Nabila yang juga merupakan pelakon drama Kebaya Kasut Kanvas turut melahirkan rasa simpati terhadap individu yang sanggup melakukan jenayah sebegitu.

“Saya rasa simpati melihat golongan seperti ini (pencuri) yang menggunakan pendekatan dengan memecah masuk premis berbanding mencari kerja secara halal.

“Kalau mereka minta kerja, saya boleh pertimbangkan untuk menyerap mereka sebagai staf,” kata pelantun lagu Peluang Kedua itu.

Tambah penyanyi berusia 28 tahun itu, dia mengusahakan perniagaan tersebut bagi membantu membantu dan berkongsi rezeki dengan individu lain yang memerlukan.

“Niat saya berniaga pun bukan untuk diri sendiri tetapi ingin berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Jadi, apabila dipecah masuk, kejadian tersebut mengganggu kakitangan di premis saya dan kredibiliti mereka. Harapnya benda ini tidak berlaku lagi,” ujarnya.

Menurut Nabila, jumlah kerugian yang dialaminya bernilai RM2,000 tetapi dia masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Jumlah kerugian sebanyak RM2,000 dan kami belum buat laporan polis lagi tetapi sudah membuat aduan dengan pihak Masok Food Court agar mengetatkan lagi sistem keselamatan,” katanya lagi. 

Difahamkan, Ayo Fried Chicken Kampung Baru merupakan salah satu daripada lima cawangan yang diusahakan Nabila. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN