fbpx

Datuk Ken dan isteri mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Liow Lian Keong (kanan) ketika tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini. Foto AMIR KHALID

SELAYANG-  Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadikan empat buah rumah milik mereka di Rawang, Selangor sebagai tempat perjudian terbuka pada Julai lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Liow Lian Keong, 40, dan isterinya, Chen Lye Kuen, 41, mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan.

Lian Keong menerusi tiga pertuduhan didakwa menggunakan tiga kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang di sini, sebagai rumah perjudian terbuka pada 5.15 petang hingga 6.15 petang pada 6 Julai lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda antara RM5,000 sehingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas.

Isterinya, Lye Kuen turut didakwa menjadikan sebuah kediaman miliknya sebagai rumah judi terbuka pada 5.30 petang pada tarikh serta lokasi sama dan didakwa atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Matthews dan Thomas Chin S. W..

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 20 Disember depan untuk serahan dokumen.

Kosmo! pada 17 Ogos lalu melaporkan seorang lelaki berusia 40 tahun dikenali sebagai Datuk Ken mampu meraih kekayaan luar biasa termasuk memiliki 14 unit rumah banglo, 14 kenderaan mewah pelbagai jenis dan 71 akaun bank hasil penglibatannya dalam pelbagai aktiviti jenayah sejak tahun 2014.

Bagaimanapun, kelicikan ketua sindiket yang memiliki harta bernilai jutaan ringgit itu terbongkar selepas dia bersama isterinya ditahan dalam operasi khas di sebuah rumah di Rawang, Selangor pada 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed sebelum ini turut menegaskan lelaki itu tidak pernah menerima sebarang darjah kebesaran Datuk dan hanya digunakan sekadar bagi menunjukkan imej gah dan berkuasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI