fbpx

Bukan suami orang, Fazley cari calon suami buat ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS lima tahun pemergian bapanya, Fazley berusaha mencari calon suami baharu buat ibu tercinta, Datin Umi Kalsom.

PETALING JAYA – Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mencari calon suami sesuai buat ibu tercintanya, Datin Umi Kalsom Abdol Latib selepas lima tahun kematian suami, Datuk Yaakob Mohammad.

Perkara berkenaan dimaklumkan Fazley, 43, menerusi satu hantaran status Instagram malam tadi.

Kata juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama itu, dia sendiri tidak tahu mengapa tergerak hari untuk berkongsi entri tersebut namun memang berhasrat mencari calon suami buat ibunya sebagai peneman hidup.

“Saya nak cari jodoh untuk ibu saya! Saya sendiri tak tahu kenapa saya tergerak hari ini membuat hantaran ini. Kali terakhir saya buat hantaran sebegini ialah ketika saya cari jodoh untuk adik perempuan bongsu saya. Alhamdulilah, dah dirisik pun oleh bakal suaminya.

“Kini saya nak usahakan untuk ibu saya tercinta pula. Sememangnya soal jodoh dan pertemuan, semuanya rahsia Allah. Kita sebagai manusia akan kekal berusaha dan berdoa. Maka, ini adalah usaha saya untuk ibu saya yang tercinta,” katanya.

Dalam hantaran status berkenaan, Fazley yang cukup dikenali menerusi single Asmara Ini turut menyenaraikan ciri-ciri calon suami ibunya yang akan menggalas tanggungjawab sebagai bapa tiri buatnya dan adik-beradik lain.

“Jika ada yang memenuhi ciri-ciri ini, mohon DM (direct message) saya untuk saringan terlebih dahulu.

“Bukan suami orang, berumur di antara usia 60 hingga 70 tahun, jujur dalam mencari kebahagiaan dunia dan akhirat, penyayang dan penyabar,” tulisnya.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu turut menyatakan bahawa calon suami kepada ibunya mestilah suka makan kerana permata hatinya itu seorang yang rajin memasak dan baking (buat kek).

“Tiada semua ciri yang disebutkan pun tidak mengapa, asalkan baca semula ciri nombor satu (bukan suami orang),” ujarnya.

Sebelum menggulung hantaran status, Fazley sempat memohon agar usahanya tidak dimarahi ibunya.

“Ini misi saya. Doakan saya berjaya! Ibu jangan marah Paji (nama timangan) okey? Paji buat ini untuk kebahagiaan ibu tau! Paji sayang ibu sangat-sangat,” katanya.

Untuk rekod, suami Umi Kalsom iaitu Allahyarham Yaakob Mohammad meninggal dunia pada Februari 2016 akibat komplikasi paru-paru. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI