Keperwiraan lelaki berdarah keturunan Iban, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah dalam perjuangannya mempertahankan kedaulatan negara Malaysia sewaktu era insurgesi sememangnya dikagumi.
Beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani dan dua Pisau Komando yang dikurniakan kepada anggota tentera yang berjaya membunuh komunis.
Seingat beliau, pada tahun 1973 sahaja, beliau telah terlibat dengan tiga pertempuran hebat bagi menumpaskan anggota komunis terutamanya di Sarawak.
Pada tahun 1967, beliau terpilih untuk menjalani latihan kadet sebagai pegawai tentera di Kolej Tentera Diraja di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
TANGGAL 4 Oktober 1973, Kapten Robert Rizal Abdullah bersama kompeninya dari Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) telah dihantar dengan helikopter ke satu kawasan hutan di Nonok (kini dikenali sebagai Asajaya) yang terletak lebih kurang 40 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak.
Mereka dihantar ke lokasi tersebut untuk menjalankan satu operasi bagi mencari serta menghapuskan pasukan pertama Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) pimpinan Bong Kee Chok.
Dalam operasi yang dinamakan Ops Jelaku VI itu, Robert Rizal dan pasukannya berdepan banyak peristiwa getir.

Pertempuran hebat telah berlaku dan Robert Rizal berjaya menyelesaikan misinya dalam operasi itu sehingga sembilan anggota komunis terbunuh.
Keberanian Robert Rizal yang mengetuai serangan itu juga telah membolehkannya dianugerahkan Pingat Gagah Berani yang merupakan pingat kedua tertinggi dalam senarai pingat di Malaysia.
Robert Rizal merupakan salah seorang perwira negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia semasa era insurgensi. Jasa anak jati Sarawak itu sememangnya besar kepada pertiwi.
Kini, biarpun hampir 50 tahun operasi tersebut berlaku, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal, 72, masih mengingati setiap saat genting menentang musuh yang menggugat keselamatan negara pada ketika itu.
Mengimbau peristiwa itu kepada K2, Robert Rizal yang kini menetap di Taiping, Perak berkata, peristiwa itu amat diingati di mindanya lebih-lebih lagi pertempuran itu turut terjadi pada sekitar hari ulang tahun kelahirannya.
“Pada hari ketiga operasi iaitu pada 6 Oktober yang merupakan hari lahir saya, saya telah mendapat berita bahawa salah satu anggota yang bergerak dengan platun di sebelah kiri telah terkorban dalam kejadian tembak menembak dengan sekumpulan musuh.
“Kejadian itu telah membakar semangat saya untuk menghapuskan musuh,” katanya yang telah memecahkan pasukan kepada tiga platun sebaik memulakan operasi itu.
Dengan semangat yang berkobar, beliau dan pasukannya kemudian telah menjumpai satu kem besar tetapi telah ditinggalkan. Mereka tidak berputus asa dan meneruskan usaha penjejakan.
Selepas empat hari menjejak musuh, Robert Rizal dapat merasakan mereka semakin hampir dengan musuh.
“Pada 10 Oktober 1973, sekitar jam 10 pagi, platun di hadapan yang diketuai Leftenan Muda Zainil Annuar telah bertempur dengan kumpulan kecil komunis dan berjaya membunuh dua orang.
“Dari lokasi itu, saya meneruskan penjejakan bersama satu lagi platun. Tanpa berhenti rehat dan berbekalkan dua lampu suluh saya hanya membawa 15 anggota bersama, manakala enam anggota ditinggalkan untuk menjaga beg-beg galas,” katanya.
Tindakan itu dilakukan kerana Robert Rizal mahu mempercepatkan pergerakan ekoran khuatir komunis dapat melarikan diri mereka dengan menyeberangi Sungai Sadong yang makin hampir.
Kemudian, pada pukul 9 malam, bateri lampu suluh pula habis dan beliau terasa mereka bagai sudah menemui jalan buntu.
Dalam keadaan gelap-gelita, badan keletihan dan basah kuyup kerana sentiasa bergerak dalam paya semenjak mula menjejaki musuh, boleh sahaja mereka berhenti dan meneruskan penjejakan keesokan harinya. Namun, Robert Rizal tidak mahu mengalah dan terus menjejak komunis.

ROBERT RIZAL memegang senjata sambil duduk di atas beg galas sewaktu Operasi Pagar di Air Kala, Perak pada tahun 1977.
Menghampiri tengah malam, anggotanya yang di hadapan sekali tiba-tiba berbisik kepadanya bahawa dia terhidu bau asap ubat nyamuk.
Robert Rizal dan anggota tersebut terus ke hadapan untuk memastikannya sebelum mereka terlihat kerlipan lampu suluh di hadapan serta bau asap ubat nyamuk yang semakin kuat sekali gus lokasi kem komunis akhirnya ditemui.
Pada hemat beliau, komunis di kem itu berkekuatan 70 orang.
“Saya mengatur rencana serangan dan saya memilih untuk melakukan serangan pada pukul 6.30 pagi.
“Tetapi sekitar 6.15 pagi, cuaca mula terang dan jika terus menunggu pihak musuh mungkin akan sedar dan melihat kehadiran kami.
“Saya terus melakukan serangan dengan melempar bom tangan tetapi malangnya ia tidak meletup ke arah musuh.
“Menyedari bom tangan tersebut tidak meletup, saya dan anggota kumpulan terus mengangkat senjata, menembak dan menyerang musuh sehingga sembilan anggota komunis terbunuh,” katanya yang mengulas kejayaan operasi itu membolehkan dirinya dikurniakan Pingat Gagah Berani.
Selain menerima anugerah Pingat Gagah Berani, beliau juga pernah menerima dua anugerah ‘Pisau Komando’ yang dikurniakan kepada anggota tentera yang berjaya membunuh komunis.
Beliau menerima anugerah itu, pada tahun 1973 untuk pertama kali dan kedua adalah pada tahun 1984 apabila menawan dua anggota komunis di Kanowit, Sarawak bersama anggota Special Branch Probing Unit dan Border Scouts.
Seingat Robert Rizal, pada tahun 1973 sahaja, beliau telah terlibat dengan tiga pertempuran hebat bagi menumpaskan anggota komunis terutamanya di Sarawak.
Sebelum operasi Ops Jelaku VI, beliau terlebih dahulu terlibat dengan misi Ops Jelaku III pada bulan Januari tahun tersebut di Asajaya juga.
Pada ketika itu beliau berpangkat Leftenan dan mengetuai Platun Kilat 3 Ranger.
Ceritanya, pada awal dan hujung tahun itu, kawasan Asajaya merupakan kawasan yang sukar kerana dibanjiri air.
“Tiga hari pertama penjejakan tidak berjalan dengan lancar. Kawasan paya itu dipenuhi dengan air sehingga paras dada.

ROBERT RIZAL di samping isteri tercinta.
“Anggota saya kadangkala harus memikul beg mereka di atas kepala bagi memastikan ia sentiasa kering,” imbaunya.
Akhirnya, mereka berjaya menjumpai tempat rehat musuh dan melakukan serangan sehingga berjaya membunuh dua pengganas komunis dan salah seorang mangsa telah dibunuh oleh Robert Rizal sendiri.
Mengimbas latar belakang hidupnya, Robert Rizal adalah seorang lelaki berdarah Iban dan sebelum memeluk Islam nama sebenarnya ialah Robert Madang Anak Langi.
Beliau berasal dari Rumah Panjang Lachau Ili yang terletak di kawasan Pantu, Sri Aman, Sarawak.
Sewaktu kecil, beliau tinggal secara nomad kerana cuma tinggal bersama abangnya yang merupakan seorang polis lantas sentiasa berpindah-randah setiap dua tahun.
Beliau mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah di Kapit, Lutong dan Bintulu. Pada tahun 1962, Robert Rizal telah terpilih untuk mengikuti pendidikan menengah di Sekolah Tanjong Lobang di Miri dan melanjutkan pelajaran sehingga ke tingkatan enam.
Pada tahun 1967, beliau terpilih untuk menjalani latihan kadet sebagai pegawai tentera di Kolej Tentera Diraja di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Sejak kecil lagi saya suka mendengar cerita orang-orang tua tentang pahlawan Iban. Cerita inilah yang menaikkan semangat saya. Saya juga ingin menjadi pahlawan.
“Salah satu sebab saya menyertai pasukan keselamatan ini adalah untuk menguji diri adakah saya juga memiliki semangat pahlawan Iban,” ungkapnya.
Sebaik tamat latihan sebagai pegawai tentera pada 1969, beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan berkhidmat dengan Batalion 3 RRD.

ROBERT RIZAL kini mengisi masanya dengan melakukan hobi termasuk menulis buku.
Selain berjuang menentang komunis di Sarawak, beliau juga terlibat dalam operasi menghapuskan pengganas komunis di Semenanjung Malaysia.
Beliau juga terlibat dalam Operasi Radak di Kulim, Kedah bagi memburu komunis.
Dengan darah pahlawan Iban yang mengalir dalam tubuhnya telah menyebabkan ramai komunis yang tumpas di tangannya.
Robert Rizal telah bersara sebagai seorang Leftenan Kolonel pada tahun 1992 dan kini beliau mengisi hari-harinya bersama keluarga di Taiping selain melaksanakan hobinya melukis dan menulis.
Robert Rizal juga telah menukilkan buku berjudul Perjalananku, sebuah autobiografi seorang pahlawan Iban berkisar kisahnya sewaktu berkhidmat dengan pasukan keselamatan.
















