fbpx

102 penduduk dipindahkan selepas terhidu bahan kimia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita menggunakan bantuan pernafasan selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu bau pencemaran udara dalam kejadian di Kampung Sri Aman Seelong, Johor Bahru, Johor malam tadi.

JOHOR BAHRU – Dua wanita dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas mengalami simptom sesak nafas dipercayai terhidu bau seperti pencemaran bahan kimia.

Kedua-dua wanita berusia antara 20-an dan 40-an itu mengadu terhidu bau seperti petrol ketika berada di rumah mereka di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, dekat sini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia Johor, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.22 malam tadi.

Jelasnya, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas dan Larkin dikejarkan ke lokasi.

Pasukan Hazmat JBPM Johor melakukan siasatan dan mengambil sampel air sungai selepas disyaki berlaku tumpahan bahan kimia dalam kejadian di Kampung Sri Aman Seelong, Johor Bahru, malam tadi.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke HSI selepas mengalami sesak nafas.

“Anggota Hazmat melakukan operasi mengesan dan mengambil sampel air di sungai dan didapati terdapat tumpahan cecair pepejal yang berada di kawasan anak sungai,” katanya.

Hasil ujian awal, pihaknya mengesyaki tumpahan itu adalah melibatkan bahan metil alkohol iaitu sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120ppm.

“Tindakan awal kita lakukan adalah meminta lima buah rumah dikosongkan yang berada pada jarak 150 meter dari sungai. Mereka semua dipindahkan ke balai raya

“Jumlah yang dipindahkan adalah seramai 102 orang yang terdiri daripada 25 buah keluarga dan mereka ditempatkan di Balai Raya Kampung Sinaran.

“Buat masa ini, kita cuba mengawal kawasan ini dan terus mengesan dengan cara menyusuri anak sungai untuk mencari punca tumpahan ini bermula,” ujarnya.

Kerja pengesanan tumpahan masih diteruskan dan pihaknya juga turut memohon bantuan pihak Jabatan Alam Sekitar dan Unit Hazmat Melaka.

Tinjauan di kawasan sekitar mendapati bau busuk seakan-akan petrol masih dapat dihidu khususnya apabila berhampiran dengan sungai berkenaan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI