fbpx

Cukai LHDN: Najib, Nazifuddin fail rayuan di Mahkamah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (kiri) dan anaknya, Mohd. Nazifuddin.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Permohonan kebenaran untuk merayu itu difailkan menerusi Tetuan Shafee & Co. dan perkara itu kemudian disahkan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

Berdasarkan notis itu, mereka menyatakan rayuan berkenaan dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rayuan pada 9 September lalu yang menolak rayuan kedua-dua perayu dengan kos RM10,000 setiap seorang.

Menurut notis itu, rayuan berkenaan mempunyai merit dan terdapat isu undang-undang yang serius dan harus diberikan keputusan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan dalam konteks undang-undang cukai pendapatan dan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu pada 9 September lalu, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

Hakim Abdul Karim yang membenarkan permohonan penangguhan itu berkata, kedua-dua perayu perlu memasukkan notis rayuan selewat-lewatnya Selasa ini dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan sementara itu luput.

Najib dan Mohd. Nazifuddin perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dimasukkan terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd. Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI