fbpx
BIARPUN berdepan masalah disleksia dan kecelaruan identiti, Bruce Jenner pernah menjadi dambaan ramai wanita sewaktu zaman mudanya.

Untold: Caitlyn Jenner, kisah rekod emas, olimpik Bruce Jenner

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KALAU saya biasa sahaja, pelajar yang baik, tiada masalah identiti, mungkin saya tak perlukan sukan tetapi saya perlukannya kerana saya berbeza.”

Demikian antara luahan William Bruce Jenner yang kini ingin dikenali sebagai Caitlyn Jenner dalam dokumentari terbaharu Netflix, Untold: Caitlyn Jenner.

Sebahagian daripada generasi baharu, mungkin ada yang kurang mengetahui tentang sebuah realiti bahawa Caitlyn pernah merangkul pingat emas Sukan Olimpik suatu ketika dahulu.

Dia merupakan jaguh dunia dalam acara Dekatlon bagi sukan olahraga dan memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Montréal 1976.

Penulis tidak mahu terlalu bercerita tentang ‘transisi’ Bruce kepada Caitlyn, namun ingin membawa perhatian khalayak terhadap kesungguhan yang telah ditunjukkannya semasa mengejar impian dalam dunia sukan.

Bruce dilahirkan sebagai penghidap disleksia dan tidak lama selepas menginjak usia remaja, dia menyedari tentang masalah kecelaruan identiti yang dihidapinya.

KISAH kehebatan Bruce Jenner sebagai seorang atlet Olimpik disingkap menerusi dokumentari berjudul Untold: Caitlyn Jenner yang kini menemui penonton menerusi Netflix.

Dia bagaimanapun membesar dan memiliki segala-galanya yang diimpikan oleh golongan lelaki. Berbekalkan raut wajah tampan, bertubuh sasa, aktif dalam sukan dan memiliki sisi lelucon, semua itu cukup membuatkan dirinya disenangi kaum wanita.

Cemburukan jaguh Olimpik

Menerusi Untold: Caitlyn Jenner, khalayak akan dipertontonkan tentang betapa istimewanya manusia yang dahulunya dikenali sebagai Bruce itu.

Mulanya, dia bukan sesiapa, namun berhasil menjadi jaguh dunia dalam acara Dekatlon kerana mencemburui kejayaan jaguh dunia terdahulu seperti Mykola Avilov dari Rusia.

Dia berlatih secara amatur dengan bantuan dan bimbingan isterinya, Chrystie Crownover.

Dalam Untold, penonton akan mengagumi sosok seorang lelaki bertinggian 1.88 meter yang hanya berbekalkan keazaman untuk bergelar pemenang Olimpik dan itu direalisasikan dengan penuh magis.

Dia bukan hanya menang pingat emas Olimpik, bahkan turut memecahkan rekod dunia yang ketika itu dipegang Mykola dengan memungut mata sebanyak 8,618 dalam acara tersebut. Satu kejayaan yang luar biasa memandangkan ketika itu, dia bukanlah atlet profesional.

Ada usaha, ada kejayaan

Bruce memberi epitome, di mana ada usaha, di situ ada kejayaan. Selepas ‘meletup’ sebagai atlet sukan, nama dan wajahnya terpampang di dada akhbar, banyak jenama besar dunia menjadikan dirinya sebagai duta.

Dari situ jugalah bermulanya titik hitam dalam kehidupannya. Bruce menyepi dan masalah kecelaruan identiti kembali menguasai diri sehinggalah dia bertemu dengan wanita baharu dalam hidupnya, Kris Jenner.

BRUCE Jenner memenangi pingat emas Sukan Olimpik 1976 dalam acara Dekatlon menewaskan juara bertahan, Mykola Avilov dari Rusia.

Kehidupan diteruskan sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak yang hebat seperti Kendall Jenner dan Kylie Jenner yang kini merupakan antara mogul kecantikan terkaya dunia.

Pada masa sama, Bruce juga berdepan kemelut emosi yang akhirnya membawa kepada proses ‘tranformasi’ pada 2015.

Biarpun kini dikenali sebagai Caitlyn, terdapat fakta cemerlang yang tidak boleh disangkal tentang dirinya, terutama sebagai bapa dan atlet kebanggaan Amerika Syarikat. Dia membuktikan tiada perkara mustahil dalam kehidupan.

Itulah yang telah dilakukan seorang lelaki bernama Bruce Jenner.

POPULAR