fbpx
Jenama kafe pilihan tempatan mengorak langkah ke institusi pengajian ternama menerusi pembukaan di KPTM Ipoh.

Bean Here! bertapak di KPTM Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jenama tempatan, Bean Here! Coffee & Pastries (Bean Here!) kini dibuka di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh bagi menawarkan pengalaman kafe berkualiti kepada warga kampus dan komuniti sekitarnya.

Pembukaan cawangan di KPTM ini mencerminkan usaha berterusan pemiliknya, Silver Lifestyle Sdn. Bhd. (Silver Lifestyle), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) untuk memperkasa jenama tempatan yang semakin relevan dalam landskap pengguna semasa.

Sejak mula beroperasi pada 2020, Silver Lifestyle secara konsisten menggunakan pendekatan perniagaan yang dinamik dan adaptif terhadap keperluan pasaran, merangkumi pembaharuan menu secara berkala serta penyesuaian format operasi mengikut lokasi dan profail pelanggan.

Bermula di Perak Techno Trade Centre (PTTC), jenama ini menerima sambutan positif daripada komuniti setempat, sekali gus membina asas yang kukuh untuk perluasan operasi secara lebih tersusun.

Kini, Bean Here! beroperasi melalui tiga model utama iaitu Kiosk Uber Concept, Café Swanky Bar dan Kiosk Petite yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai.

Menurut Pengarah Silver Lifestyle, Nur Ismail Mohammed, strategi pengukuhan dan perluasan jenama Bean Here! dirangka bagi mempertingkatkan kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Ia memberi tumpuan kepada perlindungan pelaburan sedia ada, pelaburan strategik serta pengurusan kewangan yang lebih efisien, di samping memanfaatkan potensi pasaran bagi menyokong perkembangan secara mampan,” katanya.

Selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, inisiatif tersebut memperlihatkan bagaimana pembangunan ekonomi tempatan boleh digerakkan melalui pengukuhan rantaian nilai domestik, sejajar dengan flagship Program Mesra Pelabur.

Pendekatan ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan usahawan dan pembekal tempatan bagi memperkukuh ekosistem Made in Perak. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN