
‘MAKAN untuk hidup atau hidup untuk makan’ bukanlah persoalan baharu.
Mungkin ramai daripada kita begitu yakin akan memilih menjawab makan untuk hidup tetapi maaf cakap dalam kebanyakan masa, perkara sebaliknya pula yang berlaku.
Menurut Jabatan Perangkaan, secara purata, isi rumah membelanjakan 31.2 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan bagi tujuan mengisi perut.
Kelompok isi rumah B40 pula memperuntukkan 36.8 peratus pendapatan mereka untuk tujuan tersebut.
Dapat dilihat kos membeli makanan merupakan satu daripada perbelanjaan utama isi rumah di negara ini dengan isu kenaikan harga barangan memberi kesan kepada isi dompet kita.
Misalnya kebelakangan ini isu harga ayam mahal dikaitkan dengan peningkatan kos makanan ternakan itu yang lazimnya diimport dari Argentina dan Brazil.
Di Malaysia, sumber protein utama rakyat di negara ini adalah ayam dan daging. Rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyatakan penggunaan ayam di Malaysia sebanyak 1.5 juta tan pada tahun 2020.
Tidak terkecuali makanan import seperti beras siam yang sebelum ini berharga RM60 untuk 25 kilogram turut melambung kepada lebih RM80.
Harga makanan naik mencanak sering menjadi isu nasional sejak sekian lama dan bahangnya lebih dirasai pada musim pandemik ditambah dengan faktor ramai kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan. Persoalannya mengapa ia berlaku?
Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, gangguan rantaian bekalan seperti penutupan sektor tertentu menjadi antara punca kenaikan harga barang terutamanya harga makanan.
“Gangguan ini boleh berlaku pada peringkat pengeluar atau pembekal yang mungkin terpaksa gulung tikar atau terkait kes Covid-19.
“Situasi sedemikian membuatkan peruncit terpaksa mendapatkan bekalan daripada pembekal lain pada harga tinggi dan terpaksa menjualnya pada harga yang agak mahal untuk menampung kos yang telah dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Presiden Persatuan Peruncit dan Pembekal Bumiputera Malaysia, Riswardi Fakirullah Abd. Rajak pula berkata, trend peningkatan harga barang agak ketara sejak awal tahun ini terutamanya apabila sektor pengeluaran tidak dapat beroperasi sepenuhnya.
“Perkara ini menyebabkan kesan domino misalnya industri pembungkusan dan pelabelan yang melengkapi industri pengeluaran makanan,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, N.V. Subbarow berkata, gangguan rantaian bekalan yang mempunyai kaitan dengan barang import membuatkan peniaga tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga kerana masalah bekalan ketika musim pandemik.
“Harga barang makanan asas bukan setakat ayam, malah ikan dan makanan laut lain seperti sotong dan udang juga agak mahal pada masa sekarang.
“Kami mencadangkan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dapat mengadakan program-program jualan pada harga lebih rendah kerana mereka boleh berhubung terus dengan pengeluar seperti petani, penternak dan nelayan untuk mendapatkan harga bersesuaian,” ujarnya.
Mungkin sebagai rakyat marhaen kita tidak punya begitu banyak pilihan untuk keluar daripada konflik harga barang yang seolah-olah tidak berkesudahan memandangkan bukan mudah untuk menyelesaikan isu itu dalam sekelip mata.
Senang cakap ungkapan RM50 penuh satu troli hanya menjadi bahan ‘troll’ serta jenaka di media sosial memandangkan ia agak mustahil untuk direalisasikan kembali pada zaman ini.
Barangkali kita perlu menilai kembali falsafah makan untuk hidup sekali gus lebih berfikir panjang dalam memilih jenis makanan yang pastinya perlu seimbang untuk keperluan tubuh dan poket masing-masing.
Pendek kata, kalau ada wang lebih, kita beli, kalau tiada, kita duduk diam-diam sahaja dahulu sementara menanti situasi menjadi bertambah baik. -K! ONLINE














