PETALING JAYA – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, kempen Maggi Sah Malaysia kembali bagi menyuntik semangat positif di seluruh negara dan menghidupkan semula memori indah yang tercipta bersama rakyat Malaysia sepanjang lima dekad yang lalu.
Diilhamkan daripada paparan solidariti rakyat Malaysia di tengah kesukaran berdepan pandemik Covid-19, Maggi Sah Malaysia diperkenalkan tahun lalu untuk meraikan kecekalan dan ketabahan masyarakat serta menghimpun sokongan bagi golongan memerlukan.
Sejumlah 50,000 kit makanan telah disumbangkan kepada golongan B40 melalui Peraduan Maggi Sah Malaysia Beli & Beramal pada tahun lalu.
Masuk tahun kedua, Peraduan MAGGI Sah Malaysia Beli & Beramal membawa matlamat sama untuk menyumbangkan 50,000 lagi kit makanan kepada golongan B40 di seluruh negara.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, pihaknya berbesar hati kerana telah menjadi sekutu di dapur rakyat Malaysia selama 50 tahun bagi membantu penyajian hidangan enak dan seimbang.
“Pandemik telah memberi tekanan kepada ramai rakyat, khususnya golongan B40 dan kami berharap dapat memperkasakan kumpulan rakyat yang terjejas melalui makanan, yang sentiasa mampu menyatukan kita.
“Initiatif kami bermatlamat menyediakan asas serta cara menyiapkan sajian yang enak, seimbang serta berpatutan.
“Ia sejajar dengan usaha besar Nestle Malaysia untuk meringankan beban golongan memerlukan, terutamanya membantu mereka berdepan dalam tempoh mencabar kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Bermula 1 Ogos sehingga 30 September ini, dengan setiap pembelian produk Maggi bernilai RM5, pelanggan layak menyertai Peraduan Maggi Sah Malaysia Beli & Beramal dengan menghantar penyertaan melalui WhatsApp ataupun e-borang di laman web Maggi.