fbpx

Lambakan jenazah mangsa Covid-19 warga Indonesia diurus segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hermono beramah mesra dengan sebahagian kakitangan kedutaan yang menyertai Kempen Derma Darah bagi memperingati hari ulang tahun Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-76 di sini hari ini. - Foto Farizwan Hasbullah

KUALA LUMPUR – Kedutaan Indonesia kini di dalam proses menghubungi waris jenazah mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Malaysia bagi melancarkan urusan membawa pulang mayat atau persetujuan untuk dikebumikan di sini.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat angka rasmi jumlah jenazah korban Covid-19 melibatkan warga Indonesia namun urusan menghubungi waris bagi jenazah yang telah dikenalpasti sedang dilakukan.

“Kami telah dimaklumkan tentang lambakan jenazah warga asing di hospital di Malaysia dan ada di antaranya dipercayai merupakan warga Indonesia yang kita akan hubungi warisnya agar urusan seterusnya dapat dilakukan.

“Namun terdapat juga kes yang tergendala apabila ada jenazah yang tidak dapat disahkan kerakyatannya memandangkan tiada sebarang dokumen seperti pasport atau pas pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Kedutaan Indonesia di sini hari ini.

Menurut Hermono, bagi jenazah yang tidak dapat dikenalpasti atau warisnya gagal dihubungi, jenazah berkenaan akan dikebumikan di Malaysia apabila tiba masa tertentu.

Jelas beliau, terdapat juga kes di mana jenazah tidak dapat dikenalpasti kerana bentuk fizikal dan rupanya agak mirip dengan rakyat negara lain termasuk tiada dokumen yang menyukarkan pengecaman dan urusan menghubungi waris dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Menderma Darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara di bangunan kedutaan di sini hari ini.

Hermono berkata, seramai 100 kakitangan Kedutaan Indonesia termasuk perwakilan masyarakat Indonesia di Malaysia terlibat dalam program berkenaan yang dianjurkan bagi memperingati ulang tahun kemerdekaan negara republik tersebut yang ke-76.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan pihak kedutaan asing berhubung masalah lambakan jenazah warga asing yang meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh negara.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang berusaha menghubungi waris jenazah menerusi bantuan kedutaan asing supaya proses penghantaran pulang mayat atau pengebumian dapat dilakukan di sini. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI