fbpx

JKKP siasat kes pekerja maut terjatuh mengecat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KLANG – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyiasat kes seorang pekerja yang maut selepas terjatuh ketika mengecat di sebuah kilang di Jalan Kapar di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, lelaki warga Myanmar berusia 60 tahun itu sedang menjalankan kerja
pengubahsuaian di tingkat enam kilang berkenaan.

Pengarah JKKP Selangor, Bahrudin Mamat berkata, mangsa yang sedang mengecat kemudian dipercayai terjatuh dari sebuah platform tanpa hadangan setinggi 15 meter.

“Siasatan turut mendapati mangsa tidak dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri bersesuaian untuk bekerja di lokasi berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan teruk disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Jelas beliau, pihaknya mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

“Kita mengeluarkan Notis Larangan Serta Merta (NOP) bagi memberhentikan semua kerja-kerja yang berkaitan.

“Satu Surat Arahan Larangan Kacauganggu turut dikeluarkan bagi menghentikan semua aktiviti pengubahsuaian dan pembinaan di kilang tersebut,” ujarnya.

Tegas Bahrudin, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati wujud pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang Dan Jentera 1967.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja termasuk mengenalpasti bahaya dan membuat penilaian risiko,” katanya.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI