SEPERTI yang diketahui ramai, Toyota Alphard atau Velfire sering dijadikan kenderaan alternatif bagi golongan elit untuk bergerak ke mana-mana, selain kereta sedan bertaraf limosin.
Saiznya yang boleh dikatakan besar berbanding kereta biasa mungkin salah satu sebab kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dijadikan pilihan.
Kehadiran varian Royal Lounge Toyota yang hanya menawarkan empat tempat duduk berbanding tujuh dan lapan bagi varian lain telah menaikkan lagi imej kenderaan ini.
Rentetan sambutan yang ditunjukkan terhadap varian tersebut, pada tahun 2019, ‘saudara’ Toyota yang menjual kenderaan mewah, Lexus telah memperkenalkan model LM di Shanghai International Automobile Industry Exhibition buat pertama kalinya.
LM singkatan Luxury Mover yang dibangun berasaskan Toyota Alphard generasi ketiga itu dilancarkan pada awal tahun lalu.
Lexus global menawarkan dua varian untuk model LM iaitu 300H dan 350. Varian 300H berasaskan Toyota Alphard varian Executive Lounge dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, manakala varian 350 daripada varian Royal Lounge.
Pada bulan April lalu, Lexus Malaysia secara rasminya telah melancarkan model LM untuk pasaran di negara ini.
Namun, untuk rakyat Malaysia hanya varian LM350 ditawarkan pada harga RM1,148,000 atas jalan tidak termasuk insurans (Semenanjung Malaysia).
Model yang diimport sepenuhnya (CBU) itu hadir dengan karakter yang jelas nampak mewah terutamanya jeriji spindle bersaiz besar. Pada bahagian sisi pula, kemasan krom dan rim bersaiz 18 inci melengkapkan imej sebuah MPV mewah.

Model itu menggunakan enjin 3.5 liter V6 dan transmisi lapan kelajuan automatik. Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 296hp dan tork maksimum 361Nm.
LM350 hadir lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive High-Beam System (AHS) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).
Selain itu, seperti model-model Lexus terkini, model itu dibekalkan dengan sistem keselamatan Lexus Safety System+ dan tujuh beg udara.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh Lexus Malaysia untuk memandu uji model LM350 selama beberapa hari.
Pada sesi uji pandu kali ini, penulis perlu membawa dua karakter, satu sebagai pemandu dan yang kedua sebagai bos (duduk belakang).
Sebagai pemandu MPV, pada pandangan saya, LM350 mempunyai beberapa bahagian terlindung (titik buta), namun jentera ini hadir dengan ciri unik apabila paparan kamera 360 darjah akan aktif secara automatik apabila memandu pada kelajuan bawah 10 kilometer sejam (km/j).

Model ini juga dilengkapi cermin tengah jenis skrin yang memaparkan video menerusi kamera terletak di cermin belakang. Kamera ini berbeza dengan kamera undur.
Pada bahagian pemandu turut dilengkapi bumbung panoramik.
Ciri-ciri lain yang menarik seperti pad sentuh Lexus, pengecas telefon bimbit tanpa wayar, unit infotainment bersaiz 12.3 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Bagi penulis, perkara paling mengujakan apabila menaiki LM350 sudah tentu sewaktu duduk di bahagian belakang jentera sehingga sesiapa yang membeli kenderaan ini mungkin akan terdorong menggunakan khidmat pemandu.
Masuk sahaja ke ruangan ini, terdapat dua kerusi AdaptiPedic yang menawarkan fungsi tertentu seperti mengurut, selain dilengkapi pendingin hawa dan pemanas, selain boleh dibaringkan sepenuhnya.
Semua ciri itu boleh dikawal menggunakan satu skrin sentuh di konsol tengah antara dua kerusi belakangnya.
Sistem audio dan lampu juga boleh dikendalikan menggunakan skrin itu.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti televisyen bersaiz 26 inci serta pemain cakera Blu-ray Disc, HDMI, kad SD, Playback, Miracast & DLNA, radio, CD, DVD dan MP3.
Jika sedang berbaring sambil menonton filem di televisyen berukuran 26 inci itu pasti sukar untuk menggunakan skrin tersebut. Atas sebab itu, Lexus menyediakan satu unit alat kawalan jauh untuk digunakan.
Pada sebelah tempat duduk itu pula turut disediakan empat hab USB (dua kiri dan dua kanan) bersama dua jack audio untuk fon kepala bagi memberikan lebih privasi.
Di atas tempat kepala pula turut disediakan satu cermin serta lampu supaya penumpang berasa lebih yakin sebelum turun kenderaan.

Semua alunan daripada sistem hiburan itu akan didendangkan melalui 19 pembesar suara daripada sistem audio premium, Mark Levinson. Secara tidak langsung, model LM350 ini ibarat pawagam mini bergerak.
Pada bahagian bawah televisyen itu pula terletak satu peti sejuk untuk menyimpan minuman yang boleh dinikmati semasa dalam perjalanan.
Bagi menjaga privasi penumpang belakang, turut tersedia satu penghadang lengkap dengan tingkap yang boleh diturun atau naik serta disamarkan.
Cuma satu yang penulis rasa agak sukar adalah kedudukan pintu yang agak jauh menyusahkan penumpang untuk membuka pintu. Namun, itu bukan masalah sebenarnya sebab bakal pemilik kereta ini pasti menggunakan khidmat pemandu atau pengawal peribadi yang akan membuka pintu untuk mereka.
Bagi penulis, ruang belakang dengan pelbagai ciri mewah itu berbaloi dengan harga dan tanda nama Lexus itu.














