KEBELAKANGAN ini, banyak kes kematian melibatkan kereta berlaku di negara ini seperti kanak-kanak yang maut selepas ditinggalkan dalam tempoh lama dalam kenderaan.
Selain itu, terdapat juga kes kematian melibatkan kebocoran gas karbon monoksida di dalam kereta.
Terpanggil dengan semua itu, seorang pensyarah muda dari UTM, Dr. Muhammad Hasbullah Padzillah berkongsi maklumat berguna berkaitan enjin kenderaan agar masyarakat faham dengan situasi tersebut dan dapat mengekang kes seperti itu berulang.
Turut dikongsi berhubung mitos tentang enjin seperti adakah perlu memanaskan enjin kenderaan pada waktu pagi?
———————————————————————————————————————————————————————————————————————-
PERKEMBANGAN era digital, revolusi industri 4.0 serta pandemik Covid-19 telah merancakkan lagi penggunaan teknologi terkini yang membuka mata lebih ramai individu tentang kepentingannya, terutama bagi tujuan pendidikan.
Ia dirancakkan lagi dengan kemunculan pelbagai platform media sosial yang memberi ruang kepada individu untuk berkarya, melontarkan idea dan berkongsi pandangan tanpa batasan sehingga melahirkan ramai instafamous.
Penggunaan laman YouTube dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran serta bagi tujuan berkongsi ilmu dan kepakaran sememangnya berkesan.
Ini mendorong seorang pensyarah di Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Hasbullah Padzillah mencuba sisi lain daripada mengajar secara formal dalam kelas kepada ‘bersyarah’ di platform tersebut.
Pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal, pensyarah berumur 33 tahun itu menggunakan kelebihan dimiliki untuk menerbitkan video informatif berbentuk penerangan berkaitan teknologi automotif dengan pendekatan sangat santai dan sesuai dengan pelbagai lapisan masyarakat di saluran YouTube miliknya, Hasbullah Syarah.
Lebih membanggakan apabila pensyarah muda yang pernah menarik perhatian dunia sebelum ini selepas memecah rekod menjadi graduan termuda bergelar doktor falsafah pada usia 25 tahun dari Imperial College London, United Kingdom berjaya meraih Silver Play Button daripada YouTube.

Ia sebagai pengiktirafan kepadanya setelah mendapat 100,000 pengikut. Antara isi perkongsian dalam saluran Hasbullah Syarah adalah tentang isu semasa dalam teknologi automotif dan juga teknologi enjin kereta secara umum.
Bercerita lanjut katanya, beliau terpanggil untuk memuat naik video berkenaan setelah terkesan dengan beberapa kes kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kenderaan.
“Selain tragedi itu, kes kematian tiga sekawan akibat terhidu gas karbon monoksida sewaktu berehat dalam kenderaan juga merupakan antara penyebab saya memulakan saluran Hasbullah Syarah ini.
“Bagi saya, kes sebegini sangat memilukan kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah keluarga kita sendiri.
“Disebabkan itu, saya berasa terpanggil untuk membantu semampu yang boleh dengan berkongsi ilmu kepada masyarakat bagi mengelak tragedi sama berulang,” katanya.
Terangnya, membuat saluran berbentuk pendidikan di YouTube pada asasnya sangat sukar kerana terdapat pelbagai genre lain yang lebih menarik seperti hiburan dan sukan.
Justeru ujarnya, jika individu ingin membina saluran seperti ini, ia perlulah bersifat santai serta menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, video yang dimuat naiknya lebih bersifat teori dan penjelasan secara saintifik di sebalik sesuatu isu berkaitan kenderaan.
“Ini memudahkan saya membuat penerangan tentang enjin kenderaan secara am.
“Ia memberikan pengetahuan kepada mereka yang ingin tahu tentang enjin tanpa membataskan kepada jenama dan model tertentu sahaja.
“Saya juga berkongsikan perkara yang boleh merungkai persoalan dan mitos penjagaan kereta seperti keperluan untuk kita memanaskan enjin di waktu pagi, selain memasukkan gear kepada keadaan neutral sewaktu berhenti di lampu isyarat bagi pengguna transmisi automatik,” ceritanya.

Saluran Youtube Hasbullah Syarah, telah menerima kira-kira 147,000 pengikut dan lebih 10 juta tontonan walaupun baru bertapak tidak sampai setahun lalu.
Ditanyakan tentang harapannya melalui penggunaan saluran YouTube dalam memberikan pendidikan tentang teknologi automotif ini, Dr. Hasbullah yang telah menerbitkan sebanyak 150 siaran video itu berkata, beliau akan meningkatkan lagi perkongsian melalui medium sama pada masa hadapan.
“Harapan saya adalah supaya perkongsian yang diberikan di YouTube dapat dijadikan ilmu yang berguna untuk dimanfaatkan oleh seluruh
masyarakat di negara ini.
“Perkongsian maklumat yang tepat sangat penting di era teknologi masa kini.
“Maklumat itu dapat membantu masyarakat mengelak daripada kekeliruan yang timbul, selain tidak mempercayai berita palsu,” ujarnya














