fbpx

Polis tahan sepasang kekasih dera 3 kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis menahan sepasang kekasih warga tempatan yang melakukan penderaan terhadap tiga kanak-kanak dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kota Damansara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada pukul 6.30 petang Khamis lalu, polis menerima laporan daripada seorang perempuan warga tempatan berusia 45 tahun mengenai kes penderaan terhadap kanak-kanak oleh penghuni di pangsapuri yang terletak di kawasan tersebut.

Katanya, pengadu telah menerima aduan mengenai kejadian penderaan itu daripada penghuni lain.

“Pada Isnin lepas, pengadu telah pergi ke sebuah unit kediaman untuk pemeriksaan dan pengesahan berkenaan aduan yang diterima.

“Pengadu mendapati kediaman tersebut dihuni oleh seorang ibu tuggal warga tempatan bersama tiga orang anaknya beserta seorang lelaki tempatan yang merupakan kekasih wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pengadu menasihati ibu tunggal terbabit supaya tidak memukul anaknya dan suspek juga menyerahkan anak perempuannya berusia empat tahun untuk dijaga oleh pengadu.

Tambahnya, hasil pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak terbabit mendapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di anggota badannya, pengadu kemudian membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat, sekitar pukul 4 petang semalam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu sebuah rumah di kawasan Kota Damansara dan memeriksa sepasang kekasih warga tempatan berusia 30 dan 38 tahun disyaki melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah telah menjumpai dan merampas tiga batang rotan pelbagai saiz dipercayai senjata yang digunakan suspek,” katanya.

Jelasnya lagi, turut diselamatkan ialah kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia enam dan tujuh tahun yang juga terdapat kesan kecederaan disyaki akibat penderaan.

“Polis menahan kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah melakukan penderaan ke atas tiga kanak-kanak terbabit.

“Kedua-dua kanak-kanak tersebut kemudian dihantar ke PPUM bagi mendapatkan rawatan lanjut dan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI