fbpx

“Saya minta maaf sebab naik angin”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Saya minta maaf atas kesalahan ini, semasa kejadian saya mempunyai masalah. Sewa rumah belum dibayar, apabila kena saman saya jadi naik angin.”

Demikian rayuan seorang pemilik restoran sebelum Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman terhadapnya hari ini.

Benjamin Joseph Peter, 48, merayu bagi meringankan hukuman selepas mengaku bersalah menghalang dua pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap mereka.

Majistret Atiqah Mohamed kemudian menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 atas kesalahan tersebut.

Tertuduh didakwa menghalang Zuebadreiza Badruldin, 47, dan Luqmanul Hakim Abdul Hadi, 27, daripada mengenakan kompuan terhadapnya di sebuah restoran di Taman Sri Jati, di sini pada 1.21 tengah hari, 26 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula hari ini dan dipenjara dua minggu lagi sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan supaya memberi pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam agar kesalahan sebegini tidak berulang terhadap penjawat awam yang lain.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI