fbpx

300 penduduk ‘hilang’ sumber air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusuf menunjukkan paip yang digunakan untuk menyalurkan air dari Kolam Bekalan Air Masyarakat yang rosak di kaki Gunung Jerai, baru-baru ini.

YAN – Kira-kira 300 penduduk di lima buah kampung di sini yang terlibat dalam fenomena aliran puing pada Rabu lalu meluahkan rasa sedih apabila tiga kolam takungan Bekalan Air Masyarakat (BAM) di situ musnah dalam kejadian tersebut.

Lima kampung terlibat ialah Kampung Setol, Kampung Acheh, Kampung Durian Manggis, Kampung Raga dan Kampung Rendang Pasir.

Tiga kolam yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pe­nempatan penduduk dibina hasil kutipan wang penduduk di kaki Gunung Jerai sejak lebih 20 tahun lalu.

Pengerusi BAM Kampung Acheh, Sahidi Abdullah, 63, berkata, BAM menjadi bekalan sumber air utama kebanyakan penduduk di situ berbanding bekalan air daripada paip Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA).

Katanya, selain kolam tadahan air yang pecah, paip yang digunakan untuk menyalurkan bekalan air ke rumah penduduk juga telah patah dan rosak dihentam arus deras.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan kolam dan paip yang rosak itu tidak dapat dilakukan ke­rana kawasan berkenaan masih dalam proses pembersihan.

“Sebahagian besar sememang­nya menggunakan air BAM untuk kegunaan seharian, berbanding bekalan air SADA untuk kegunaan minuman sahaja,” jelasnya.

Berita berkaitan: ‘Kawasan rumah jadi pulau’

Penduduk Kampung Raga, Abdul Halim Abdullah, 52, berkata, satu kolam takungan khas yang dibuat berhampiran rumahnya juga telah musnah dibawa arus dalam kejadian itu.

“Kejadian arus deras yang memusnahkan kolam tadahan menyebabkan saya terpaksa membeli air untuk kegunaan seharian sejak Rabu lalu,” ujar­nya.

Sementara itu, penduduk Kampung Raga, Yusuf Ayob, 58, berkata, arus deras akibat fenomena aliran puing yang memusnahkan kolam, paip air hingga menyebabkan mereka terputus bekalan air.

“Kami hendak guna air sungai pun tidak boleh kerana air­nya masih kotor dan berlumpur ekoran kejadian itu.

“Selain membeli air minuman untuk kegunaan seharian kami bersyukur kerana sejak kelmarin SADA telah mula menghantar bekalan air,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI