fbpx

PERKESO bantu waris kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar (kiri) menyampaikan faedah insurans PERKESO kepada waris Muhammad Nazirul Mubin (kanan) semasa program penyerahan faedah insurans bekerja sendiri PERKESO di Jalan Kebun, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (PERKESO) menyampaikan faedah kepada waris penghantar makanan yang maut dalam satu kemalangan jalan raya pada 11 Ogos lalu.

Mangsa, Muhammad Nazirul Mubin Mat Nazir, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada bahagian dada dan abdomennya, sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar makanan di Shah Alam.

Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Azhar Md. Nadzri berkata, mangsa bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang secara sepenuh masa.

Arwah juga bekerja sebagai penghantar makanan secara separuh masa, bagi menambah pendapatan untuk menanggung kedua-dua ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih belajar.

Azhar menjelaskan, selepas disemak, mangsa mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO menerusi program SPS Lindung.

“Sehubungan itu, waris layak mendapat dua faedah PERKESO iaitu, Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta satu bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) bernilai RM2,000.

“Bapa dan ibu mangsa akan menerima bantuan seumur hidup, manakala tiga adiknya juga turut menerima bantuan sehingga mereka mencecah 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa di rumah mereka di Jalan Kebun di sini semalam.

Atas tindakan proaktif dan keprihatinan PERKESO, setelah berita kemalangan arwah tersebar di media sosial, tanpa menunggu maklumat daripada ke­luarga atau individu yang berkaitan kes tersebut, Skuad PERKESO Prihatin segera membuat semakan dan mendapati caruman Allahyarham memenuhi kelayakan bantuan faedah.

Sehubungan itu, dalam masa tidak sampai seminggu, keluarga Allahyarham telah dihubungi PERKESO dan bantuan faedah telah diberikan.

Tambah beliau, SPS Lin­dung merupakan bantuan Kerajaan di bawah Belanjawan 2021 berbentuk pembiayaan penuh (100 peratus) Pelan Caruman Kedua SKSPS PERKESO iaitu sebanyak RM232.80.

“Ia menyediakan perlin­dungan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) daripada bencana pekerjaan termasuklah penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan untuk tempoh perlindungan selama setahun.

“Skim ini menyediakan faedah tunai seperti FOT yang dibayar kepada tanggungan OBS sekiranya mereka meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

“Skim ini turut menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional kepada OBS yang ditimpa musibah semasa bekerja,” ujar­nya.

Selain itu, Pencen Penakat pula adalah faedah Skim Keilatan di bawah Akta 4 yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans (OB) PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

“Antara syarat Pencen Penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai digalakkan mencarum dalam skim yang ditawarkan oleh PERKESO bagi melindungi pekerja dan juga waris jika berlaku sebarang kecelakaan atau kematian.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Nazir Abu Hassan, 52, berterima kasih kepada PERKESO yang tampil bagi membantu keluarganya di saat sukar.

“Arwah merupakan seorang anak yang baik dan dia sering kali menolong dan meringankan beban keluarga.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga di kala pandemik ini, saya hanya bekerja sebagai tukang cuci, jadi berapa sangatlah pendapatan yang diterima,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI