ALOR SETAR – Pasangan suami isteri yang menghabiskan masa bersama terlalu lama sehingga 24 jam sehari di rumah mampu mewujudkan ketegangan dan pergaduhan kecil yang akhirnya menyebabkan berlakunya perceraian.
Peguam syarie, Mardhiyyah Johari berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, rakyat diarahkan untuk ‘berkurung’ di rumah bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam komuniti.
Menurutnya, kebanyakan penjawat awam serta pekerja swasta juga hanya bekerja dari rumah sepanjang tempoh total lockdown.
“Sepatutnya keadaan ini boleh mengeratkan hubungan suami isteri, namun sebaliknya berlaku kepada sebahagian pasangan yang mungkin menyebabkan rumah tangga mereka bergolak,” katanya kepada Kosmo!.
Mardhiyyah memberitahu, beliau telah menerima pertambahan sekitar 40 peratus aduan perceraian semasa PKP berbanding sebelum pandemik berlaku.
Katanya, majoriti pasangan adalah dalam kalangan orang muda berusia 35 tahun ke bawah serta berusia 40 tahun ke atas.
“Kebanyakan daripada kes ini (pergaduhan kecil dan tidak kesefahaman) sudah bermula sebelum PKP lagi, namun bertambah serius apabila PKP dilaksanakan kerana pasangan perlu bersama di rumah sepanjang hari,” ujarnya.
Mardhiyyah berkata, pasangan terlibat juga kebanyakannya mempunyai masalah komunikasi, karakter yang buruk seperti panas baran atau kaki pukul selain memiliki orang ketiga.
“Bagi mengekalkan ketenangan dan kelangsungan rumah tangga, suami isteri perlu saling bekerjasama dan tidak hanya mengharapkan satu pihak.
“Suami atau isteri juga perlu menenangkan pasangan atau tidak memberi tekanan selain sentiasa berkomunikasi supaya tidak berlaku salah faham,” katanya.














