fbpx

Gagal lapor rasuah, bekas Eksekutif Pembelian didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Azleela (kiri) menutup muka ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Gara-gara gagal melapor kesalahan rasuah yang diberikan kepadanya pada tahun lalu, seorang wanita yang juga bekas Eksekutif Pembelian sebuah syarikat minyak dan gas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nor Azleela Ali, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, hakim Suzana menasihatkan  secara ringkas supaya tertuduh insaf selain berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama dan kedua tertuduh sebagai seorang Senior Buyer di Sapura Energy Berhad telah diberikan wang suapan RM4,000 oleh individu yang merupakan pengarah sebuah syarikat melalui akaun simpanan Bank CIMB milik tertuduh.

Wang suapan itu diberikan kepada tertuduh sebagai dorongan membocorkan maklumat harga tender syarikat lain bagi projek “Provision Of Engineering, Procurement, Construction, Installation And Commissioning (EPCIC) Of Pegaga Development Project” daripada Sapura Energy Berhad yang mana telah melanggar peruntukkan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) iaitu tertuduh gagal melaporkan kesalahan pemberian suapan tersebut kepada SPRM dan pihak polis.

Kesalahan itu dilakukan di Bank CIMB, Cawangan Solaris Mount Kiara, Jalan Solaris di sini masing-masing pada 23 Mei dan 6 Oktober 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu. tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda dan tidak mengenakan hukuman penjara dengan alasan tidak mempunyai pendapatan selepas diberhentikan kerja.

“Saya mengaku salah dengan apa yang saya lakukan…sepanjang berada dalam lokap SPRM selepas ditahan sudah cukup memberi pengajaran. Saya juga mempunyai tanggungan keluarga iaitu ibu yang sudah uzur serta seorang adik yang merupakan Orang kelainan Upaya (OKU),” katanya sambil menahan sebak.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noryusriza Zulkifli yang mewakili pendakwaan mengesahkan tertuduh telah ditahan reman selama empat hari bermula 14 April hingga 17 April lalu dan terpulang mahkamah untuk menjatuhkan hukuman. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI