fbpx
MERAIH kemahiran menggali daripada pengalamannya sebagai tukang paip, kini Roslee memanfaatkannya untuk menggali kubur di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Selasih Kuala Lumpur yang juga tanah perkuburan tempat bersemadi arwah isterinya.

Risikokan diri peluk erat jenazah untuk masuk ke liang lahad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Roslee Ali, 63, yang telah menguruskan pengebumian sekitar 1,000 jenazah Covid-19 di Kuala Lumpur mendapat sokongan penuh ahli keluarga untuk meneruskan kerja sebagai penggali kubur.

“Kerja-kerja pengebumian dilakukan mengikut SOP ketat tetapi saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengasingkan diri daripada ahli keluarga sejak Mac tahun lalu biarpun tinggal bersama.

“Saya hanya keluar bilik sewaktu makan, selebih waktu saya mengasingkan diri di dalam bilik.

“Saya tidak terkilan walaupun tidak dapat memeluk anak dan cucu sudah lebih setahun kerana berpegang teguh kepada pendirian untuk menyempurnakan pengebumian jenazah sebaik mungkin dan mempermudahkan urusan tersebut,” tuturnya.

 

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

SEAWAL pukul 6.45 pagi, Roslee Ali, 63, menaiki motosikal menuju ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur yang mengambil masa 10 minit perjalanan untuk memulakan tugasnya sebagai penggali kubur.

Berbekalkan peralatan asas seperti cangkul dan penyodok tanah, Roslee menggali kubur bermula pukul 7 pagi dengan dibantu seorang lagi rakan penggali.
Rutin tersebut dilakukan tanpa jemu oleh bapa enam cahaya mata itu sejak 11 tahun lalu semata-mata untuk membantu memudahkan urusan pengebumian jenazah.

Keringatnya semakin ditagih tatkala negara diuji dengan pandemik Covid-19 sehingga dia perlu menggali sekitar 40 liang lahad dalam sehari sebelum jentera pengorek kaut digunakan pihak berwajib pada bulan lalu.

Bukan itu sahaja, Roslee sanggup merisikokan diri untuk turut menyempurnakan jenazah-jenazah Covid-19 dengan turun ke liang lahad.

Bersama seorang lagi rakan, mereka berdua akan menyambut jenazah dari atas dan meletakkannya sebaik mungkin di dalam liang lahad.

Sejak meletus pandemik itu pada tahun lalu, Roslee telah menguruskan pengebumian sekitar 1,000 jenazah pesakit Covid-19 dan itu merupakan pengorbanan yang luar biasa kerana sanggup merisikokan nyawa sendiri dengan memeluk erat jenazah-jenazah bagi dimasukkan ke dalam liang lahad.

ROSLEE sentiasa berazam untuk melaksanakan kerja-kerja pengebumian dengan sebaiknya.

Sehubungan itu, atas sumbangan dan jasa baktinya, Roslee telah diangkat sebagai penerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021.

Anugerah Tokoh Frontliner adalah kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini dan ia diberikan kepada dua orang penerima iaitu Roslee dan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari.

Menurut Roslee, dia sungguh terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah itu kerana merasakan dirinya hanya orang biasa.

“Saya tidak menyangka seorang penggali kubur akan menerima anugerah ini kerana ia sepatutnya diberikan kepada tokoh-tokoh korporat atau orang-orang hebat.

“Anugerah ini sebenarnya untuk seluruh barisan hadapan yang bersama-sama bertungkus-lumus menyempurnakan pengebumian jenazah kerana saya tidak mampu melakukannya sendirian tanpa bantuan mereka,” katanya yang dibesarkan di Kuala Lumpur.

Selain Tokoh Utama Maal Hijrah seperti kelaziman, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut mengadakan empat anugerah lain meliputi petugas barisan hadapan (frontliner), korporat, mualaf dan pendakwah kreatif bagi menerima anugerah khas Maal Hijrah tahun ini.

DI Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur inilah Roslee bertugas sebagai penggali kubur sejak 11 tahun lalu.

Mengimbau kembali detik awal Roslee bertugas sebagai penggali kubur, ia terjadi ketika arwah isterinya meninggal dunia 11 tahun lalu kerana kencing manis dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah itu.

“Sejak isteri dikebumikan di situ, saya sering menghulurkan bantuan untuk menggali kubur dan berasa seronok melaksanakan tugasan ini kerana dapat membantu pengebumian dengan sebaik mungkin.

“Saya juga berasa sangat tenang apatah lagi dengan melihat suasana perkuburan yang membuatkan dada menjadi lapang berbanding dahulu kehidupan saya sangat sibuk bekerja sebagai tukang paip,” jelas datuk kepada 16 orang cucu itu.

Roslee mempunyai pengalaman selama 40 tahun sebagai tukang paip dan pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat penyedia air bersih untuk disalurkan ke rumah-rumah penduduk.

Sepanjang bekerja sebagai tukang paip, dia telah merantau ke beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sarawak, Perak dan Selangor demi memenuhi tuntutan tugas itu.

“Sejak usia 16 tahun, saya telah bekerja mengorek tanah untuk menanam paip-paip besar dan pengalaman itu digunakan ketika menggali kubur.

“Selalunya saya mengambil masa sekitar 30 minit sehingga sejam untuk menyiapkan satu liang lahad dengan dibantu seorang rakan,” ujarnya yang merupakan salah seorang daripada tujuh penggali kubur di situ.

MUTAKHIR ini, angka korban akibat pandemik Covid-19 di Kuala Lumpur semakin meningkat. – GAMBAR HIASAN

Terang Roslee, Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah yang merupakan bekas lombong dan mempunyai batuan besar menyukarkan sedikit kerja-kerja menggali, tetapi ia tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan tugas mulia itu.

Roslee memberitahu, tanah perkuburan itu menerima hampir 50 jenazah setiap hari termasuklah kematian disebabkan oleh Covid-19.

“Sejak sebulan yang lalu, jentera pengorek kaut digunakan untuk menggali liang lahad bagi mengebumikan jenazah pesakit-pesakit Covid-19 kerana bilangannya yang terlalu banyak.

“Saya pula akan menggali sekitar 12 sehingga 15 liang lahad sehari untuk pengebumian jenazah bukan pesakit Covid-19,” ulasnya.

Tugasan hariannya lazim berakhir sekitar pukul 6.30 petang atau 7 malam tetapi Roslee juga pernah menggali kubur pada pukul 12 tengah malam untuk kes-kes kecemasan tertentu.

Kebiasaannya, penyelia tanah perkuburan atau pihak pengurusan jenazah akan memaklumkan Roslee pada waktu malam untuk membuat tempahan kubur bagi pengebumian jenazah keesokannya.

Roslee yang tinggal bersama anak, menantu dan tiga orang cucu di Taman Sentul Utama itu mendapat sokongan penuh ahli keluarga untuk meneruskan kerja sebagai penggali kubur.

“Kerja-kerja pengebumian itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat tetapi saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengasingkan diri daripada ahli keluarga sejak Mac tahun lalu.

“Saya hanya keluar bilik sewaktu makan, selebih waktu saya mengasingkan diri di dalam bilik.

“Saya tidak terkilan walaupun tidak dapat memeluk anak dan cucu sudah lebih setahun kerana berpegang teguh kepada pendirian untuk menyempurnakan pengebumian jenazah sebaik mungkin dan mempermudahkan urusan tersebut,” tuturnya yang suka memancing pada masa lapang.

Ujar Roslee, dapat melihat anak-anak dan cucu di hadapan mata pun sudah memadai baginya.

Roslee tidak pernah gentar atau takut untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dan bertekad untuk melaksanakan tugas menggali liang lahad itu sehingga hujung nafasnya.

“Ketika memeluk jenazah untuk diletakkan di dalam liang lahad saya membayangkan keadaan diri sendiri di hari kematian dan apakah menemui Allah dalam keadaan baik atau sebaliknya.

“Semua orang akan merasai mati tidak kira siapa kita, jutawan atau tokoh hebat dan yang dibawa bersama hanyalah amalan soleh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN